Mustahil tunda Olimpik sekali lagi

TOKYO, 23 APRIL – Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak boleh ditunda setelah penangguhan selama setahun yang terpaksa dibuat kerana wabak koronavirus, presiden jawatankuasa penganjur telah memberi amaran dalam komen yang diterbitkan hari ini.

Presiden Tokyo 2020, Yoshiro Mori berkata ia ‘semestinya tidak’ bagi persoalan untuk menunda temasya sukan tersebut lebih daripada jadual mereka pada pembukaan 23 Julai 2021, menurut agensi berita Kyodo.

“Turut memikirkan mengenai atlet dan isu mengenai pengurusan Olimpik, secara teknikalnya adalah sukar untuk menundanya selama dua tahun,” Mori berkata.

Mori berkata sebelum ini dia telah meminta Perdana Menteri Shinzo Abe sama ada Jepun perlu menimbangkan penundaan selama dua tahun tetapi ‘perdana menteri telah memutuskan bahawa masa penangguhan adalah satu tahun’.

Dengan tekanan hebat daripada atlet dan kesatuan sukan, penganjur Jepun dan komiti Olimpik antarabangsa pada bulan Mac telah bersetuju penangguhan Olimpik selama setahun.

Penganjur dan pegawai Jepun telah berkata penundaan Olimpik akan memberi peluang untuk menunjukkan kemenangan dunia ke atas koronavirus, tetapi persoalan semakin meningkat mengenai sama ada penundaan selama setahun itu mencukupi.

Awal minggu ini, pakar Jepun yang mengkritik tindak balas negara terhadap koronavirus memberi amaran dia ‘sangat pesimis’ bahawa Olimpik akan diadakan pada 2021. – AFP

Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak boleh ditunda setelah penangguhan selama setahun kerana mengambil kira mengenai atlet dan isu mengenai pengurusan Sukan. – AFP