Musuh Duterte terima jawatan tertinggi

MANILA, 6 NOV – Seorang pengkritik lantang kempen antidadah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte hari ini menerima jawatan tertinggi untuk membantu memimpin kempen tersebut, berikrar untuk menghentikan pembunuhan mereka yang tidak bersalah.

Meskipun pengkritik mengatakan pelantikan itu adalah satu usaha untuk mencemarkan nama musuhnya, langkah itu akan meletakkan Leni Robredo sebagai peneraju tindakan keras yang dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

Duterte yang menawarkan jawatan itu kepada Robredo yang merupakan timbalan presiden namun dipilih secara berasingan, selepas dia berulang kali mengecam kempen yang sudah pun membunuh beribu-ribu orang.

“Saya mahu memperbaiki kempen membasmi dadah haram, menghentikan pembunuhan orang tidak berdosa dan mempertanggungjawabkan pegawai yang menganiayai,” Robredo memberitahu satu sidang media. – AFP