Mutiara tertua dunia ditemui di Abu Dhabi

ABU DHABI, 21 OKT – Sebutir mutiara berusia 8,000 tahun yang dikatakan oleh ahli arkeologi merupakan yang tertua di dunia akan dipamerkan di Abu Dhabi, menurut pihak berkuasa yang berkata semalam ia adalah bukti bahawa objek tersebut telah pun diperdagangkan sejak zaman Neolitik.

Mutiara asli itu ditemui di lantai sebuah bilik yang ditemui ketika kerja menggali di Pulau Marawah, di luar ibu negara Emiriah Arab Bersatu, yang mendedahkan seni bina paling awal yang ditemui di negara itu.

“Lapisan dari mana mutiara berasal telah dijejaki wujud sejak tahun 5800 hingga 5600 SM, ketika zaman Neolitik,” kata Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi.

“Penemuan mutiara paling tua di dunia di Abu Dhabi menjelaskan bahawa kebanyakan sejarah ekonomi dan budaya kami mempunyai asal-usul mendalam yang wujud sejak zaman prasejarah,” kata pengerusi Mohamed Al-Muabarak.

Kerja-kerja menggali di tapak Marawah, yang terdiri daripada beberapa struktur runtuhan batu Neolitik, juga mengandungi seramik, manik diperbuat daripada kulit kerang dan batu serta mata panah daripada batu api.

“Mutiara Abu Dhabi” akan dipamerkan untuk kali pertamanya di Pameran ’10,000 tahun Kemewahan’ yang akan dibuka pada 30 Oktober di Louvre Abu Dhabi, cawangan daripada muzium terkenal di Paris.

Pakar Emiriah percaya mutiara itu didagangkan dengan Mesopotamia – Iraq purba – yang menukarnya dengan tembikar dan barangan lain.

Ia juga mungkin dipakai sebagai barang kemas.

“Pedagang permata Venetian Gasparo Balbi, yang melalui rantau itu, menyebut pulau di luar pantai Abu Dhabi sebagai sumber mutiara pada abad ke-16,” kata jabatan kebudayaan. – AFP

Gambar serahan Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi.