Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Dengan matlamat untuk membincangkan usaha bagi membantu Rakan Seliaan (RS), Aftercare Support Association (AFSA) telah mengadakan sesi perjumpaan dan muzakarah bersama Bahagian Pemulihan dan Lawatan, Biro Kawalan Narkotik (BKN) di Tungku, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AFSA, di sini, hadir semasa perjumpaan berkenaan ialah Penolong Pengarah (Bahagian Pemulihan dan Lawatan) BKN, Awang Shamsul bin Mohammad dan pegawai-pegawai dari bahagian berkenaan.
Manakala itu, ASFA diwakili oleh Yang Dipertua, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya serta pegawai-pegawainya.
Sebelum perbincangan dimulakan, taklimat ringkas mengenai tugas, peranan, rancangan dan aktiviti AFSA telah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua, Haji Mustapa bin Haji Masri.
Beberapa perbincangan dan percambahan idea telah diadakan secara mendalam dalam perjumpaan itu bagi membantu RS.
Kedua-dua agensi berkenaan akan terus bekerjasama dan memberikan komitmen secara berterusan bagi sama-sama membantu serta menyantuni kebajikan dan kesejahteraan RS.
AFSA menyatakan bahawa sesi perjumpaan dan muzakarah berkenaan bermatlamat untuk memperkenalkan tugas dan peranan persatuan dalam mendangani dan menyantuni isu-isu RS yang telah bebas daripada Jabatan Penjara mengetahui status mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah semasa di bawah pengawasan BKN, mengetahui prosedur dan tatacara yang efektif bagi menangani isu-isu kecelaruan mental dalam kalangan RS yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta membincangkan perkhidmatan dan pendekatan yang efektif bagi memberikan program sokongan kepada RS yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
