Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Feb – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini telah mengadakan siri permuzakarahan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dengan kementerian-kementerian di dewan kementerian berkenaan, hari ini.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengalu-alukan 19 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya berharap permuzakarahan dengan ahli MMN berhasil mengetengahkan perjalanan KKBS yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk membangunkan modal insan.
Pembangunan berkenaan misalnya melalui program pembangunan belia, mengekalkan identiti dan warisan bangsa melalui program kebudayaan dan kesenian, memelihara kesejahteraan rakyat dan penduduk melalui pelbagai program jaminan sosial berbentuk bantuan atau dokongan kemasyarakatan dan menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat menjurus kepada peningkatan kecemerlangan sukan menerusi pembangunan sukan untuk semua, sukan untuk kecemerlangan dan industri sukan.
Yang Berhormat Pehin menekankan KKBS dalam melaksanakan tugasnya banyak bergantung kepada pendekatan ‘One Whole Goverment Approach’ untuk keberhasilan.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berucap bahawa aspirasi kerajaan dari awal lagi dalam bidang kebudayaan ialah memasyarakatkan budaya kepada rakyat yang mana peruntukan diberikan kepada pembangunan budaya termasuk kesenian tradisional.
Menyentuh mengenai bidang kebeliaan pula, Yang Berhormat Pehin berkata pembangunan belia adalah meneruskan kesinambungan program dan proses pembentukan yang memberikan manfaat kepada golongan belia, negara dan pemimpin. KKBS juga menyedari golongan belia perlu dipersiapkan dengan kompetensi diri yang tinggi melalui pembinaan kemampuan daya fikir berteraskan ilmu dan kemahiran semasa.
“Ini adalah penting untuk mengubah ‘mind set’ golongan belia daripada menunggu kerja kepada mencipta kerja dan pekerjaan,” kata Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Sementara itu, di arena sukan, tambah Yang Berhormat Pehin lagi, kerajaan mahukan sukan digunakan sebagai satu mekanisma untuk memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
Semua pihak samada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan lebih-lebih lagi rakyat perlu bekerjasama. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini atas sifat suka akan sukan itu.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyentuh hal pembangunan masyarakat, di mana kerajaan menggalakkan penggabungan usaha-usaha masyarakat, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk membaiki taraf hidup, kebajikan dan kebudayaan rakyat ke arah pembangunan negara keseluruhannya.
Ahli-ahli Yang Berhormat, menerusi cadangan, pandangan dan soalan membuka jalan kepada KKBS untuk memikirkan langkah-langkah intervensi bagi penambahbaikan. Baik isu kebudayaan, belia, sukan dan kemasyarakatan realitinya KKBS berhadapan dengan keperluan melihat pengutamaan dasar, menyusun semula program dan projek berdasarkan keperluan dan keupayaan jentera pelaksanaan serta mengambilkira kedudukan sumber.
Yang Berhormat Pehin menyatakan, kesemua ini memerlukan perspektif baru dan semuanya lebih mendorong kementerian untuk menerapkan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan iaitu pengukuran faktor-faktor utama yang akan memberikan kejayaan jangka panjang kepada organisasi.
Langkah ke hadapan KKBS dengan bantuan ahli-ahli Yang Berhormat sudah tentu untuk menyenaraikan keutamaan menangani isu menurut urutan dan meneruskan pelaksanaan program dari semasa ke semasa dengan penglibatan semua pihak selaras dengan hasrat membangunkan negara bersama masyarakat.
“Ke arah ini sudah setentunya KKBS memerlukan rakan strategik yang dapat membantu merealisasikan kehendak dan hasrat negara sebagai rakan berbincang, melakar tujuan dan mencapai misi dan visi kementerian demi kemakmuran negara,” kata Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
Dalam ucapan penutupnya, Yang Berhormat Pehin menyatakan Wawasan Brunei 2035 memerlukan komitmen yang tinggi daripada anggota perkhidmatan awam dan masyarakat umumnya
Bagi pihak KKBS, struktur organisasi diperkukuhkan dan pengurusan sumber manusia dipertingkatkan bagi meningkatkan keupayaan menjalankan peranaan dalam persekitaraan yang sentiasa berubah melalui tenaga kerja mahir dan berpengetahuan.