Muzakarah bersama ahli MMN

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan sesi muzakarah bersama 18 orang ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Hadir mempengerusikan muzakarah tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Acara tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhd Zakaria bin Haji Mohd Salleh dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin.

Sementara ucapan balas pula disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku ketua delegasi MMN.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin dalam ucapan alu-aluan menyentuh mengenai penyediaan rangka Pelan Strategik KHEDN 2022–2026 yang lebih komprehensif bagi sama-sama merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menjayakan Wawasan 2035.

Kakitangan KHEDN dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara semasa mengadakan sesi muzakarah di Bilik Mesyuarat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

Ini termasuklah dengan mengambil kira aspirasi, inisiatif-inisiatif dan perancangan-perancangan yang sedia ada termasuk Digital Masterplan Economy 2025, Economic Blueprint For Brunei Darussalam, pelan-pelan strategik kementerian-kementerian dan sebagainya.

Selain itu, jelas Yang Berhormat Pehin lagi, ke arah pelaksanaan pelan tersebut, KHEDN juga akan terus memantapkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, memantapkan sistem tahanan dan pengawalan penghuni, memperkukuhkan institusi mukim dan kampung serta meningkatkan prasarana-prasarana bagi mendukung sosioekonomi.

Sesi muzakarah tersebut kemudiannya diteruskan dengan taklimat daripada setiausaha-setiausaha tetap KHEDN mengenai pencapaian-pencapaian dan inisiatif-inisiatif setiap jabatan selaras dengan teras strategik KHEDN bagi tahun 2017-2021 iaitu memelihara keselamatan awam, memantapkan perpaduan masyarakat dan memangkin pembangunan sosioekonomi.

Selain dijadikan sebagai wadah untuk bertukar-tukar fikiran, muzakarah tersebut juga dihasratkan menjadi platform untuk mengongsikan pandangan yang membina, menerima cadangan dan juga mendengar isu-isu semasa yang akan dapat menyumbang kepada merapatkan lagi jurang dalam perkhidmatan dan dasar KHEDN ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Turut hadir semasa sesi muzakarah tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, dan ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan di KHEDN.