Muzakarah bersama ahli MMN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI), hari ini, telah mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sesi muzakarah berkenaan dihadiri oleh delegasi seramai 17 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim.

Ia merupakan segmen kedua daripada sesi penglibatan dua hari MEMI dengan ahli-ahli MMN yang bertujuan untuk berkongsi dan menyebarkan maklumat mengenai fungsi kementerian dan jabatan, peranan dan inisiatif di bawah ketiga-tiga portfolio utamanya.

Sesi muzakarah berkenaan didahului dengan sesi lawatan kerja ke beberapa buah tapak perindustrian yang diuruskan oleh Darussalam Enterprise (DARe), kelmarin.

Muzakarah berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim; Setiausaha Tetap (Perindustrian), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Perindustrian), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad serta pegawai-pegawai dari MEMI, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam, DARe dan Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).

Sesi muzakarah berkenaan mendengarkan taklimat mengenai setiap portfolio kementerian iaitu Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian disampaikan oleh Haji Azhar, Haji Zolkiflee dan Pengiran Haji Mohd Hasnan.

MEMI akan terus berusaha untuk melaksanakan misinya bagi memaksimumkan nilai sektor tenaga, membangun dan mengembangkan industri-industri dalam industri bukan minyak dan gas serta pada masa yang sama menyediakan lebih banyak aktiviti limpahan bagi pembangunan sosioekonomi negara yang disokong oleh tenaga kerja tempatan yang siap-industri (industry-ready).

Sesi Muzakarah antara MEMI dan ahli-ahli MMN 2019 telah berlangsung di Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.