Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Dalam mempersiapkan para peserta dengan pemahaman yang mendalam mengenai falsafah dan penghayatan ibadat haji, seramai 136 peserta telah menghadiri Majlis Penutup Muzakarah Haji kali ke-32 pada hari ini, di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang seterusnya menyampaikan ucapan serta sijil-sijil kepada para peserta Muzakarah Haji kali ke-32 bagi Tahun 2025.
Terdahulu majlis penyampaian sijil kepada peserta muzakarah, Pengarah Urusan Haji di Jabatan Urusan Haji (JUH) KHEU, Haji Abdullah bin Haji Mohamad dalam ucapan alu-aluan antara lain mengongsikan, JUH terus komited dalam mempertingkatkan kualiti atau mutu pengurusan haji.
Antara usaha yang telah dilaksanakan, jelasnya, Jabatan dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat, KHEU telah membangunkan sistem pendaftaran haji di Negara Brunei Darussalam secara dalam talian.
Langkah itu diambil bagi memudahkan orang ramai mendaftar untuk menunaikan ibadat haji iaitu boleh dibuat di mana sahaja dan pada bila-bila masa dengan tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Arab Saudi.
Beliau turut mengongsikan perkembangan sistem pendaftaran haji secara dalam talian, yang telahpun selesai dibina dan dalam fasa penelitian akhir oleh pelbagai pihak yang berkenaan sebelum ianya dapat digunakan.
Disebabkan peralihan pendaftaran haji secara dalam talian tersebut, tambahnya, pendaftaran haji belum dapat dibukakan setakat ini sehingga projek pendaftaran haji secara dalam talian tersebut siap dilancarkan.
Beliau seterusnya berharap sistem tersebut berjalan lancar dan seterusnya dapat dilancarkan pada waktu terdekat ini bagi membolehkan orang ramai membuat pendaftaran haji dengan lebih mudah dan bersistematik.
Di samping itu, beliau turut mengongsikan bahawa setakat ini seramai 23,761 pemohon yang masih berada di dalam senarai menunggu untuk menunaikan ibadat haji.
Berdasarkan perkiraan kuota 1,000, para pemohon dijangka akan menunaikan ibadat haji di antara tahun 2026 hingga 2049 dengan tempoh menunggu sehingga 24 tahun,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, JUH juga akan meneruskan Program ke Arah Wawasan Perkhidmatan Awam yang Arif tentang Tuntutan Rukun Islam Kelima dan menjadikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan jabatan.
Muzakarah berkenaan turut diisi dengan pembentangan kertas kerja pertama yang membincangkan dua isu mengenai permasalahan hukum manasik iaitu isu berihram dan isu melakukan badal haji.
Manakala pembentangan kertas kerja kedua juga membincangkan permasalahan hukum manasik haji yang menekankan kepada isu Miqat dan sembahyang Sunat Qabliyaah Jumaat.
Muzakarah turut diisi dengan taklimat mengenai Pengurusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Turut diadakan ialah pembentangan kertas perdana yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Md Syahiran bin Haji Md Sofian dengan tajuk Haji Fardhu vs Haji Mabrur.
Peserta muzakarah terdiri daripada guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah, guru-guru sekolah yang mengajar bab haji dan umrah di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI), tenaga pembimbing saudara baharu (mualaf) dan daie-daie PDI, para pegawai dan imam-imam Jabatan Hal Ehwal Masjid, serta pembimbing-pembimbing agama dari syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah termasuk agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah menggunakan visa pelancong Arab Saudi.
Pada sesi tersebut juga diadakan pembentangan kertas-kertas kerja oleh beberapa pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri yang mengupas isu-isu hukum hakam berkaitan manasik haji secara terperinci.
Muzakarah tersebut memperjelaskan isu-isu hukum yang timbul semasa pelaksanaan manasik haji dan umrah pada Musim Haji 2024 yang lalu, selain memberikan gambaran terkini mengenai keadaan di Tanah Suci termasuk kemudahan di Arafah dan Mina, ekspektasi bakal Jemaah serta dasar dan peraturan terkini yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Di samping itu, muzakarah berkenaan bertujuan memperkukuh dan memperluaskan ilmu berkaitan manasik haji serta menjelaskan pengurusan haji Negara Brunei Darussalam dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.