Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 24 Mei – Bagi mengongsikan maklumat berkaitan dengan pengawasan kejiranan (PK), Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong telah mengadakan sesi permuzakarahan bersama para penghulu mukim Daerah Tutong yang berlangsung di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong, baru-baru ini.
Hadir bagi mempengerusikan perjumpaan PK ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Suhairi bin Haji Sukri.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Tutong, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai; Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya bersama penasihat-penasihat PK yang terdiri daripada penghulu-penghulu mukim dan wakil daripada Jabatan Perhutanan, maritim dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).

Sesi perjumpaan telah mendengarkan taklimat mengenai statistik kes-kes jenayah dan lalu lintas yang dilaporkan sepanjang suku tahun pertama 2018.
Turut disentuh ialah strategi pencegahan jenayah dan juga aktiviti PK sepanjang tahun dan cadangan bagi tahun 2018.
Taklimat juga disampaikan oleh wakil Jabatan Perhutanan, maritim dan JPD bagi berkongsi maklumat dan menambahkan lagi pengetahuan orang awam mengenai peranan pihak-pihak berkenaan.