Muzakarah martabatkan penggunaan tulisan Jawi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Sebagai langkah untuk mendukung hasrat dan seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar pusat-pusat pengajian tinggi untuk bergerak bersama dalam membantu mendaulatkan warisan tulisan Jawi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath telah mengadakan satu muzakarah khas di kolej berkenaan hari ini.

Antara perwakilan yang menyertai muzakarah bagi membincangkan perkara berkaitan dengan tulisan Jawi itu ialah Universiti Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Adat Istiadat, Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Pusat Sejarah dan Pusat Dakwah Islamiah. Muzakarah yang dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha antara lain menjelaskan bahawa muzakarah tersebut dihasratkan dapat mengembangkan penggunaan tulisan Jawi dan sekali gus dapat mengekalkan warisan berkenaan kepada generasi seterusnya.

“Fenomena hilangnya tulisan Jawi di negara luar memperkuatkan lagi keperluan bagi negara ini untuk terus mengukuhkan dan mengembangkan tulisan Jawi. Justeru agenda perbincangan berkenaan adalah bagi mengenal pasti sama ada terdapat ketetapan rasmi mengenai penggunaan tulisan Jawi dalam penyuratan dan sistem ejaan Jawi dalam jabatan dan bahagian perwakilan masing-masing,” jelasnya.

Muzakarah tersebut antara lain juga bertujuan untuk membincangkan dan mengetengahkan isu-isu berkenaan dengan tulisan Jawi serta mengemukakan cara terbaik menanganinya, selain diharapkan dapat menjadi satu wadah dalam perkongsian pengalaman dan aktiviti mendaulatkan tulisan Jawi di institusi dan jabatan masing-masing.

Dr Haji Abang Hadzmin ketika mempengerusikan muzakarah tersebut.