Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzik ‘jambatan’ antara budaya

    NEW YORK – Lang Lang, salah seorang artis klasik yang paling berpengaruh di dunia, mengatakan bahawa pemuzik mesti sentiasa bertindak sebagai ‘jambatan’ antara budaya, lebih-lebih lagi semasa krisis melanda.

    Bercakap kepada AFP selepas persembahan istimewa di bilik pameran piano Steinway di Manhattan, pemain piano terkenal berusia 41 tahun itu mengatakan ‘setiap pemuzik adalah duta bagi budaya mereka sendiri’.

    “Apabila awda seorang artis yang membuat persembahan, awda memainkan banyak karya berbeza dari pelbagai bahagian dunia, dan ia hampir seperti jambatan, menghubungkan budaya,” katanya.

    “Saya fikir setiap pemuzik mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi warisan yang berbeza melalui muzik mereka.”

    Dilahirkan di timur laut Shenyang pada 1982, penghibur yang banyak mengembara mengelilingi dunia itu menjadi terkenal dengan memainkan lagu-lagu daripada komposer romantik yang hebat.

    Lang Lang semasa membuat persembahan di Steinway Hall, New York pada 10 Oktober. – AFP
    Seorang pekerja membina piano edisi terhad, Steinway X Disney di Steinway & Sons Factory di New York baru-baru ini. – AFP
    Kepingan kayu yang digunakan untuk membina piano edisi terhad, Steinway X Disney di Steinway & Sons Factory di New York pada 10 Oktober. – AFP
    Pemandangan jarak dekat piano edisi terhad Steinway X Disney. – AFP

    Dia membawa perasaan itu ke Disney, semasa konglomerat hiburan yang merevolusikan industri animasi meraikan ulang tahunnya yang ke-100.

    Lang Lang pada tahun lepas mengeluarkan album lagu berdasarkan klasik Disney bertajuk The Disney Book serta satu siri khas yang disiarkan di Disney+.

    Dan baru-baru ini, dia memperkenalkan piano edisi terhad, Steinway X Disney dengan wajah Mickey Mouse yang dilukis dengan tangan.

    Lang Lang berkata salah satu faedah bekerjasama dengan Disney ialah membawa lebih banyak muzik klasik kepada golongan muda.

    “Selalunya orang ramai akan meminta saya memainkan lagu Frozen, untuk memainkan lagu Can You Feel The Love Tonight,” katanya, merujuk kepada lagu-lagu daripada animasi klasik, The Lion King dan fenomena terkini tentang sebuah kerajaan yang terperangkap dalam musim sejuk yang berpanjangan.

    Dia berkata bahawa sebahagian daripada matlamatnya adalah untuk menjadikan versi lagu-lagu popular itu ‘luar biasa’ dan dalam gaya ‘Chopin atau Lizst – tahap piano yang akan dilakukan oleh komposer romantik’.

    Lang Lang berkata ‘emosi mendalam’ yang boleh ditimbulkan oleh muzik membolehkannya ‘menyatukan hati orang’.

    “Muzik adalah sangat berkuasa,” katanya. “Apabila awda mendengar muzik, awda mendapat banyak jenis perasaan yang berbeza. Sama ada gembira, sedih atau sentimental. Secara tidak langsung, awda mendapat pelbagai emosi daripada seluruh dunia.”

    Dia juga memuji kekuatan persembahan secara langsung, yang selama bertahun-tahun terjejas akibat pandemik COVID-19, dengan mengatakan bahawa artis yang membuat persembahan di atas pentas adalah ‘seperti seni visual dan seni persembahan digabungkan’.

    “Sama ada ia menggerakkan tangan atau menggerakkan badan dan ekspresi wajah, ia sangat menyentuh jiwa,” sambungnya. “Persembahan yang hebat sentiasa menggerakkan hati awda.”

    Apabila ditanya sama ada dia mempunyai sebarang kebimbangan terhadap AI – yang penggunaannya dalam muzik telah menjadi subjek kontroversi dan perdebatan di seluruh industri, dengan beberapa pihak menunjuk kepada penyalahgunaan hak cipta – Lang Lang menepis kebimbangan tersebut.

    “Bukan mudah untuk mencipta satu lagi Beethoven,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda