Muzik kuat punca 63 ayam mati

BHUBANESWAR, INDIA, 24 NOV – Majlis perkahwinan tradisional India yang menampilkan muzik rancak, persembahan bunga api, tarian dan pancaragam telah dipersalahkan sebagai punca kematian 63 ekor ayam.

Ranjit Kumar Parida berkata, pesta berkenaan dimeriahkan dengan muzik terlalu kuat ketika ia melintas ladang ayamnya yang terletak di Odisha sebelum tengah malam Ahad lalu.

“Saya meminta pengendali kumpulan muzik itu untuk memperlahankan bunyi kerana terlalu bising dan menakutkan ayam saya.

Tetapi mereka enggan mendengar dengan rakan pengantin lelaki menjerit ke arah saya,” katanya kepada AFP.

Seorang doktor veterinar memaklumkan Parida bahawa ayam-ayamnya mati akibat serangan jantung dan dia kemudiannya membuat laporan polis selepas penganjur majlis enggan membayar pampasan.

Profesor Zoologi, Suryakanta Mishra, yang menulis buku berkaitan kelakuan haiwan berkata, bunyi terlalu kuat boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan unggas.

“Ayam dikawal oleh irama yang dipengaruhi cahaya semula jadi atau kitaran cahaya siang dan malam.

“Keseronokan atau tekanan secara tiba-tiba akibat muzik yang kuat boleh mengganggu jam biologi haiwan itu,” kata Mishra. – AFP