Muzium Alamein kongsi peranan Mesir dalam WWII

ALAMEIN – Di bahagian pantai utara Mediterranean Mesir, Muzium Tentera Alamein menempatkan senjata, peta, foto dan kenderaan yang menyaksikan salah satu pertempuran terbesar semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Muzium Tentera Alamein terletak kira-kira 90 kilometer dari wilayah pesisir pantai di utara Alexandria dan ditubuhkan pada tahun 1956. Tujuan muzium tersebut ditubuhkan ialah untuk memperingati peranan penting Mesir semasa perang tersebut.

Bandar Alamein di pesisir pantai Mesir menyaksikan pertempuran yang luar biasa pada tahun 1942 di mana pasukan Bersekutu yang diketuai oleh komander dari Britain, Bernard Law Montogomery menewaskan pasukan Paksi Jerman-Itali yang diketuai oleh jeneral Jerman, Erwin Rommel yang turut dikenali sebagai ‘Musang Padang Pasir’, menandakan permulaan kejatuhan Fasisme dan Nazisme.

Mohammed Adel, seorang ketua jurupandu di muzium itu, memberitahu Xinhua bahawa tempat tersebut menunjukkan peristiwa-peristiwa besar pertempuran di Alamein dan peranan pasukan yang mengambil bahagian.

Jurupandu tersebut memberitahu bahawa muzium tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian pameran terbuka, bilik pameran tetap dan ruang pameran sementara.

Seorang budak membuat lawatan ke muzium Alamein. Muzium Alamein mempamerkan senjata dan peralatan berat seperti meriam, pengangkut persendirian, kapal terbang dan kenderaan berperisai serta barang-barang milik tentera seperti alat makan.- Xinhua

Muzium tersebut ditubuhkan untuk memperingati peranan penting Mesir semasa Perang Dunia Kedua untuk mencapai kedamaian dan keamanan.- Xinhua

Menurut Adel, bahagian-bahagian tersebut mempamerkan senjata dan peralatan berat seperti meriam, pengangkut persendirian, kapal terbang dan kenderaan berperisai serta barang-barang milik tentera seperti alat makan.

Di tengah-tengah lobi utama, sebuah peringatan didirikan untuk menandakan peperangan selama bertahun-tahun dan dinding lobi dihiasi dengan grafiti yang menggambarkan kisah-kisah peperangan, gambar-gambar komander tentera yang memberi sumbangan dan peta perang negara-negara Afrika Utara.

Adel memberitahu Xinhua bahawa ia adalah penting bagi Mesir untuk menubuhkan muzium tersebut bagi memperingati pertempuran di tanah Mesir.

“Ini menunjukkan peranan yang dimainkan oleh Mesir bersama negara-negara lain semasa peperangan bagi membina keamanan,” katanya. Omar Hammam, seorang juruterbang Mesir berasal dari Kaherah, memandu kira-kira 300 kilometer menuju ke muzium tersebut untuk membawa anak-anaknya menimba ilmu pengetahuan mengenai Perang Dunia Kedua, khususnya pertempuran di Alamein.

“Ia merupakan tempoh yang penting bagi sejarah kami dan itulah sebabnya saya membawa anak-anak saya ke sini untuk menceritakan kepada mereka bagaimana Mesir bergabung dengan kekuatan global untuk menghentikan kekejaman dan ketidakadilan bagi mencapai keamanan,” kata Hammam kepada Xinhua.

“Selain pelancong asing dan tempatan, keluarga-keluarga mangsa mengunjungi muzium dan perkuburan yang berdekatan di mana ribuan mangsa peperangan dari berbagai-bagai negara dikebumikan,” tambahnya.

Perang Dunia Kedua yang bermula pada 1939 hingga 1945, merupakan peperangan terbesar dalam sejarah yang melibatkan lebih dari 60 buah negara dan rantau serta mengakibatkan kemusnahan dan kerugian yang sangat besar.

Di Eropah, Kesatuan Soviet menjadi medan pertempuran utama dalam memerangi Nazi Jerman, manakala di Asia, China adalah medan perang utama menentang Fasis Jepun.

“Pada ulang tahun ke-75 Perang Dunia Kedua, kita memperingati pengalaman, kejayaan dan sumbangan penting rakyat China menentang pencerobohan Jepun,” kata Ahmed Sallam, bekas perunding media di Kedutaan Mesir di China memberitahu Xinhua.

Dia menekankan bahawa rakyat China membuat pengorbanan besar dan memberikan sumbangan semasa peperangan, menawarkan pengalaman bersejarah yang sangat diperlukan oleh semua negara dalam sejarah kontemporari.

“Perang Dunia Kedua mengajar kita bahawa kita mesti melindungi kebebasan kita dan menolak serta mengutuk penggunaan kekuatan secara haram dan menyalahi undang-undang. Ini mengajarkan kepada kita perlunya bekerjasama untuk mencapai dan menjaga keamanan,” menurut Sallam. – AFP