Thursday, November 14, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium baharu abadikan kisah pelarian

    OKSBOL, DENMARK – Dibina di tapak sebuah kem untuk pelarian Perang Dunia Kedua Jerman, pembukaan muzium Belanda baharu pada Rabu mendedahkan gambaran baharu mengenai kisah peribadi penghijrahan paksa, baik era lampau mahupun sekarang.

    Muzium Pelarian FLUGT (maksud lari dalam bahasa Belanda) yang baru dibuka di Denmark, di bandar kecil Oksbol di pantai barat Jutland berhampiran sempadan Jerman, menumpu pada pelarian Jerman, serta pendatang lain yang telah tiba di Denmark sejak beberapa tahun lalu.

    Objek yang dipamerkan termasuk barangan peribadi – daripada khemah kepada beruang teddy – yang mengisahkan kisah peribadi penghijrah yang telah melarikan diri daripada peperangan dan penindasan di Afghanistan, Bosnia, Chile, Jerman, Hungary, Iran, Lubnan, Rusia, Syria dan Vietnam.

    “Kami ingin mengabadikan kisah di sebalik kemelut yang dihadapi, objek melambangkan orang sebenar,” beritahu pengarah muzium Claus Kjeld kepada AFP sebelum pembukaan pada Rabu.

    Namun bagi segelintir orang, falsafah terbuka muzium adalah bercanggahan dengan layanan Denmark terhadap pelarian, dengan kerajaan fahaman sayap kanan dan kiri melaksanakan dasar imigresen paling ketat di Eropah.

    Permaisuri Belanda, Margrethe dan pengarah muzium, Claus Kjeld Jensen melawat muzium baharu Flugt selepas dibuka di Oksbol, Denmark pada 25 Jun. – AP
    Pemandangan di dalam Muzium Pelarian Denmark Flugt di Oksbol, barat daya Denmark. – AFP

    Tatkala Perang Dunia Kedua berakhir, kira-kira 250,000 warga Jerman melarikan diri ke Denmark apabila Tentera Merah Rusia menghampiri bandar mereka.

    Kira-kira 35,000 antara mereka berjaya menemui kem pelarian di Oksbol, dengan segera menjadikannya tapak di bandar kelima terbesar Denmark berdasarkan saiz populasi.

    Kem itu, beroperasi dari 1945 hingga 1949, mempunyai sekolah, sebuah pawagam dan sebuah bengkel, kesemuanya terletak di belakang pagar kawat berduri.

    Sekarang ini, masih ada sisa-sisa kem yang kelihatan, selain dua bekas bangunan hospital dan sebuah tanah perkuburan, tersembunyi di sebalik hutan tebal hijau.

    “Kami mempunyai sebahagian sejarah dunia yang betul-betul berlaku di sini di mana kami berdiri. Namun ia merupakan situasi sebenar hari ini,” kata Kjeld Jensen.

    “Kami mempunyai jauh lebih ramai pelarian di seluruh dunia berbanding pada akhir Perang Dunia Kedua. Maka, saya agak isu tersebut adalah jauh lebih relevan hari ini berbanding sebelumnya.”

    Ratu Denmark Margrethe II menghadiri pembukaan rasmi muzium pada 25 Jun bersama Naib Canselor Jerman Robert Habeck. Negeri Jerman menyumbang kira-kira 1.5 juta euro (AS$1.58 juta) kepada projek bernilai 16 juta euro itu.

    “Tidak ada sesiapa yang akan terfikir ia akan menjadi kisah sedih mengenai pelarian dan penghijrahan,” kata permaisuri berusia 82 tahun itu.

    Pada tahun 2021, jumlah orang yang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka disebabkan konflik, keganasan, kebimbangan terhadap penyeksaan dan pencabulan hak asasi manusia mencecah 89.3 juta, menurut UNHCR, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Serangan Rusia ke atas Ukraine mencetuskan aliran perpindahan baharu di seluruh Eropah, dengan lebih enam juta pelarian melarikan diri di sempadan, menurut UNHCR.

    Muzium baharu itu direka oleh arkitek terkemuka Belanda Bjarke Ingels, yang baru-baru ini menyiapkan ibu pejabat baharu Google di Silicon Valley dan dijangka mereka bentuk sebuah muzium baharu AS mengenai perhambaan di Fort Worth, Texas.

    Reka bentuk Ingels menghubungkan dua bangunan hospital yang masih wujud dengan pembinaan bangunan baharu berbentuk bulat disalut keluli karat. Di dalam bangunan, rangka kayu yang mencuar tinggi mewujudkan foyer terbuka yang luas, di mana pelawat boleh melihat objek pameran.

    “Apabila awda datang ke sini dari luar, awda melihat dinding tertutup yang diperbuat daripada keluli aloi,” jelas Ingels.

    “Namun, apabila awda melangkah masuk ke dalam foyer, awda sedar terdapatnya oasis atau tempat perlindungan yang terbuka menuju ke hutan, yang merupakan sesuatu yang ingin ditemui pelarian di sini – tempat perlindungan daripada peperangan dan bayangan atau imbasan masa depan yang lebih cerah.”

    Pada pertengahan 2020, Denmark menjadi negara Kesatuan Eropah pertama yang mengkaji semula kes ratusan pencari suaka Syria dari Damsyik, menganggapnya selamat untuk mereka kembali. Ia juga merancang membuka pusat perlindungan di luar Eropah di mana pemohon akan dihantar untuk menetap di sana.

    Pada 2021, hanya 2,099 orang yang meminta perlindungan di Denmark.

    Wakil UNHCR Henrik Nordentoft mengaku timbulnya ‘cabaran’ dengan dasar pelarian Denmark.

    “Dasar adalah bermotifkan politik dan kami berharap terdapatnya cara untuk mengubahnya,” kata beliau.

    Perasmian muzium dihadiri oleh Jorg Baden, 82 tahun, yang melarikan diri dari Jerman ke Denmark pada 1945 pada usia lima tahun, serta ketibaan terbaharu, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang melarikan diri dari Syria pada 2015 serta sekumpulan pemuzik klasikal Ukraine yang tiba pada awal tahun ini.

    Ia berfungsi sebagai satu peringatan, seperti yang dikatakan oleh Baden, bahawa ‘Flugt bukan sahaja merupakan satu topik lampau, ia juga menjangkau kehidupan kami hari ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda