Muzium Itali beralih ke lawatan maya

ROM – Sebilangan besar 4,000 buah muzium di Itali akan dibuka semula bulan ini, beberapa minggu selepas ditutup pada awal lockdown kerana koronavirus pada 10 Mac lalu.

Tetapi bagi kebanyakan pelancong, melihat beberapa buah khazanah budaya terhebat di dunia, bahkan beberapa bulan selepas itu muzium dibuka semula memerlukan lawatan secara maya.

Seminggu yang lalu, Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte mengumumkan pelonggaran peraturan lockdown peringkat demi peringkat. Bahagian pertama yang disebut “Fasa Dua” bermula Isnin lalu, yang membolehkan taman-taman, kilang-kilang dan tapak-tapak bangunan dibuka semula.

Muzium akan dibenarkan dibuka semula pada 18 Mei ini.    Pada mulanya, jumlah lawatan dijangka sedikit.

Dua minggu lalu, Menteri Pelancongan Dario Franceschini mengatakan bahawa dia tidak menyangka pelancong asing, yang mewakili sebahagian besar industri pelancongan negara itu, akan kembali ke Itali dalam jumlah besar hingga tahun 2021.

Gambar bertarikh 26 April 2020, menunjukkan seorang lelaki duduk berlatar belakangkan Colosseum di Rom. – Xinhua
Pemandangan pusat bersejarah Florence yang diiktiraf UNESCO sebagai tapak warisan dunia pada tahun 1982. – Agensi
Keadaan sunyi yang pada kebiasaannya pengunjung akan memenuhi Salla delle Asse di Castello Sforzesco di Milan. – Agensi
Castello Sforzesco merupakan salah satu tempat bersejarah yang dapat dilawati di Itali. – Agensi
Gambar bertarikh 4 April 2020, menunjukkan seorang wanita melalui jalan yang sunyi di Turin, Itali. – Xinhua

Pada awalnya, pergerakan di dalam negara akan terhad walaupun bagi orang Itali sendiri yang ingin melancong ke luar wilayah mereka.

Selain itu, peraturan penjarakan sosial akan mengurangkan jumlah pelawat yang dapat mengunjungi muzium tertentu pada satu masa. Muzium Uffizi yang luas di Florence, sebagai contoh, hanya akan membenarkan 450 orang pengunjung masuk ke muzium pada satu masa, separuh daripada jumlah kebiasaannya.

Di Rom, pameran penuh untuk memperingati ulang tahun ke-500 kematian Renaissance master Raphael, kemungkinan akan berakhir menjadi hanya 15 hari, kerana sebahagian besar karya yang dipinjamkan dalam pameran berkenaan mesti dikembalikan. Pameran itu merupakan koleksi karya terbesar Raphael yang pernah dikumpulkan di satu tempat, yang dijadualkan berlangsung dari 5 Mac lalu hingga 2 Jun, terpaksa ditutup hanya beberapa hari selepas dibuka.

Muzium-muzium lain mengatakan bahawa mereka hanya akan membenarkan pelancong masuk dengan membuat tempahan atau melalui penggunaan syif. Tetapi banyak muzium terbesar di negara ini sudah dibuka 24 jam sehari untuk lawatan maya yang semakin canggih.

Pinacoteca di Brera,Milan, sebagai contoh, mempunyai teknologi maya yang berkembang dengan baik bahkan sebelum lockdown lagi. Tetapi pengarah muzium itu, James Bradburne, mengatakan dalam satu wawancara bahawa setelah muzium ditutup, dia mempunyai pekerja yang bekerja dari rumah yang fokus untuk meningkatkan lagi kehadiran digital definisi tinggi di muzium.

“Saya selalu beranggapan bahawa sebuah muzium adalah lebih daripada apa yang digantung di dinding, dan pengalaman maya mestilah lebih daripada sekadar menyiarkan gambar digital karya seni,” kata Bradburne.

“Sebuah muzium adalah mengenai pengalaman, dan tugas kami adalah menciptakan pengalaman itu secara dalam talian.”

Antara inisiatif yang dilakukan adalah lawatan interaktif yang membolehkan ‘pengunjung’ bergerak di muzium seperti yang mereka lakukan sendiri secara yang nyata. Selain itu, muzium menyiarkan video kakitangan yang menerangkan karya seni kegemaran mereka dan terdapat inisiatif bercerita dalam pelbagai bahasa. Bradburne mengatakan bahawa pengunjung setiap hari ke laman sesawang muzium semakin meningkat dengan cepat sehingga muzium harus menukar servernya.

Puluhan muzium dan tempat budaya Itali lain, mulai dari Uffizi di Florence dan Muzium Seni Moden di Bologna hingga Palazzo Ducale di Venice dan Colosseum di Rom telah mengambil langkah serupa. Malah Scuderie del Quirinale telah mengadakan lawatan maya untuk pameran Raphael yang bertujuan untuk mereka yang tidak dapat berkunjung.

“Ketika kami tutup, kami mula merancang jadual inisiatif dalam talian yang banyak di laman sesawang kami dan di media sosial termasuk lawatan maya serta video di belakang pentas,” kata Mario De Simoni, presiden Scuderie del Quirinale dalam satu kenyataan melalui e-mel.

Walaupun tumpuan akan kembali kepada pengunjung secara langsung selepas 18 Mei, Bradburne, De Simoni, dan lain-lain mengatakan bahawa fokus pada akses maya yang canggih ke muzium akan terus berlanjutan jauh daripada penutupan dan bulan-bulan bagi akses muzium yang terhad untuk diikuti.

Luca Desiata, kurator seni dan profesor pengurusan di Universiti LUISS di Rom, mengatakan bahawa fokus akan mewakili cabaran bagi sesetengah pihak.

“Muzium harus berusaha untuk melakukan lawatan maya dengan cara yang benar,” kata Desiata kepada media.

“Ini adalah proses yang mahal dan serius yang sukar bagi muzium yang lebih kecil,” tambahnya.

Patrizia Asproni, presiden ConfCultura, sebuah persatuan pengendali muzium, mengatakan bahawa fokus baharu pada lawatan maya harus menjadi sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menjadikan akses ke budaya yang lebih mudah.

“Setelah semuanya kembali normal, saya rasa kita harus memikirkan kembali cara kita melihat muzium,” kata Asproni dalam wawancara.

“Tidak cukup untuk menunjukkan sesuatu. Karya seni atau kepentingan sejarah harus dijelaskan dengan cara yang menarik dan ia mesti disediakan untuk seberapa banyak orang.” – Xinhua