Monday, January 20, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium negara Afghanistan terima kembali kunjungan pelawat

    KABUL – Muzium negara Afghanistan selepas mengalami pasang surut, akhirnya dibuka semula untuk pengunjung dari dalam dan luar negara bagi memperkenalkan sejarah dan tamadun Afghanistan, kata pengarah muzium, Mohammad Rahim Rahimi.

    Rakyat Afghanistan yang letih berperang menyaksikan peralihan politik ketika Taliban mengambil alih ibu kota Kabul pada 15 Ogos lalu dan mengumumkan pembentukan kerajaan sementara pada 7 September.

    Pernah menjadi muzium popular di rantau ini untuk mengekalkan warisan budaya yang kaya dari era dan tamadun purba yang berbeza, muzium negara Afghanistan telah terkesan teruk akibat perompakan koleksinya semasa bertempuran berpuak-puak pada 1990-an.

    “Nasib baik tiada apa-apa yang dicuri dan tiada apa-apa yang rosak semasa perubahan politik dan kami telah berjaya memelihara segala-galanya dalam tempoh tiga bulan ini,” kata pegawai itu.

    “Kami telah menjaga muzium negara sejak kejatuhan kerajaan terdahulu.

    Antara koleksi yang dipamerkan di Muzium negara Afghanistan. – Xinhua.
    Muzium negara Afghanistan telah dibuka semula untuk pengunjung bagi memperkenalkan sejarah dan tamadun negara. – Xinhua.
    Gambar menunjukkan pengunjung sedang melawat muzium negara Afghanistan di Kabul pada 9 Disember lalu. – Xinhua.

    “Kami telah menutupnya atas sebab keselamatan dan demi menjaga koleksi. Kami telah menyediakan keselamatan yang lebih baik, selain melindungi warisan budaya,” beritahu pengarah muzium itu kepada Xinhua di pejabatnya baru-baru ini.

    Walaupun pintu muzium dibuka untuk pelawat pada masa kini, bilangan pelawat masih terhad kerana ramai yang tidak menyedari akan pembukaan semula muzium tersebut, andaian pengarah entiti itu.

    “Ia baru dibuka tiga atau empat hari lalu, kami tidak mempunyai ramai pengunjung asing, tetapi hanya kalangan penduduk tempatan, kami sangat gembira datang ke sini untuk melawat,” rungut Rahimi sambil menambah bahawa lebih ramai pengunjung dijangka akan datang nanti.

    Objek yang melambangkan ketamadunan dari empayar Koshan hingga zaman Yunani dan Buddhisme telah dipelihara di muzium tersebut.

    Bagaimanapun, Rahimi berkata hanya lima peratus daripada koleksi itu dipamerkan pada masa kini, untuk beberapa bulan dan terdapat rancangan untuk menggilirkan pameran.

    Rahimi bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai pendapatan bulanan atau tahunan muzium itu atau jumlah pelancong asing yang dijangka melawatnya pada masa hadapan.

    Lebih dua dozen warga Afghanistan melawat muzium itu pada 9 Disember dan salah seorang pelawat, Mohammad Nabi, 39, dalam perbincangan dengan Xinhua menyifatkan lawatannya hanya sekadar menghabiskan masa dan mendapatkan pengetahuan tentang tamadun lampau Afghanistan.

    Dalam pada itu, Rahimi melahirkan rasa terima kasih kepada cadangan pengarah Muzium Istana China untuk perlindungan warisan budaya di Afghanistan.

    Kami sedang memikirkan bagaimana untuk mengadakan lebih banyak kerjasama budaya dan mendapat sokongan daripada rakan kongsi Cina kami mengenai perlindungan warisan budaya, kata Rahimi. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda