Muzium pamer barang antik secara percuma

BUKIT MERTAJAM – Sebuah rumah tradisional Melayu yang tersergam indah dan megah di Kampung Tanah Liat di sini, hakikatnya merupakan sebuah muzium barangan antik milik persendirian yang dikenali sebagai Muzium BM.

Menurut pemiliknya Yong Kein Sun, 60, aset tertua yang dipamerkan di sini berupa sebuah seterika antik yang digunakan sejak abad ke-18, selain koleksi antik lain yang mencecah usia 100 tahun seperti pemain piring hitam, kamera, pedang, telefon, mesin taip, radio, tembikar, peralatan perang dan lain-lain.

Peminat dan pengumpul barangan antik itu berkata seterika berbentuk seperti gayung dan dianggarkan seberat kira-kira tiga hingga empat kilogram itu, dijumpai beliau di Myanmar ketika berkunjung ke negara belasan tahun lalu.

Apa yang uniknya mengenai seterika ini ialah pemegangnya diperbuat daripada kayu, manakala ruangan kosong pada ‘gayung’ itu dihasilkan daripada besi yang merupakan tempat meletakkan arang untuk memanaskan seterika.

“Di Malaysia, agak sukar barangan seperti ini ditemukan. Ada kalanya, ketika saya tahu ada orang yang mahu pindah rumah, saya akan membeli barang-barang lama yang mereka tidak mahu untuk disimpan atau dikongsikan kepada pengumpul barang antik yang lain, untuk tatapan generasi akan datang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Muzium BM di sini, baru-baru ini.

Yong Kein Sun menyusun jam antik antara barangan koleksi antik yang dipamerkan di BM Muzium di Tanah Liat. – Bernama
Yong Kein Sun menunjukkan seterika arang dipercayai yang terawal dihasilkan iaitu pada abad ke-18 dan bentuknya seperti gayung kecil yang mempunyai pemegang panjang yang dipamerkan di BM Muzium. – Bernama
Seorang pengunjung tertarik dengan koleksi antik pemain piring hitam yang dipamerkan di BM Muzium. – Bernama

BM Muzium yang dibina bagi mengumpul koleksi barangan antik berkonsepkan rumah tradisional Melayu-Bali di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam. – Bernama

Mengimbau bagaimana boleh bermulanya pembinaan muzium itu, Yong berkata ia bermula apabila barangan antik yang dikumpulnya sejak berusia 20-an sudah memenuhi setiap ruang di rumahnya, sehingga tiada tempat lagi untuk menyimpan barangan lain.

Oleh itu, beliau membuat keputusan membeli sebidang tanah di Kampung Tanah Liat dan membina muzium tersebut dengan berilhamkan pembinaan rumah kayu tradisional Melayu berkeluasan lebih 1,500 kaki persegi dengan menggunakan khidmat tukang ukir tempatan bagi menyerlahkan keaslian seni bina muzium itu.
Katanya 20 peratus daripada koleksi di muzium berkenaan diwarisi dari keluarganya secara turun-temurun, sementara 80 peratus lagi dibeli dari negara jiran seperti Myanmar, Thailand, Vietnam dengan paling banyak dari Indonesia.

Ini kerana di Indonesia, paling mudah untuk mendapatkan barangan antik seperti pemain piring hitam, kamera, kalkulator, mesin taip dan sebagainya daripada peninggalan Belanda, jelas Yong.

Selain barangan antik berkenaan, Yong turut mengumpul kenderaan lama dan antik seperti basikal, kereta dan motosikal malah kereta kuda dan beca, turut kelihatan di perkarangan muzium tersebut.

“Dahulu saya mempunyai lebih banyak koleksi kereta antik namun sukar diselenggarakan. Jadi saya berikan kepada seorang pengumpul barang antik di Johor kerana dia sudi menjaga kereta-kereta itu dengan baik.

“Bagi saya, asalkan mereka (penerima) boleh menjaga barang-barang ini dengan baik, itu sudah cukup kerana ini adalah khazanah yang kita boleh kongsikan dengan generasi akan datang,” jelas Yong yang berasal dari Bukit Berapit, di sini.
Sebagai pengumpul barangan antik, beliau turut berkongsi kekecewaan koleksinya yang bernilai tinggi pernah dicuri.

“Kalau dahulu saya kerap mengumpulkan wang kertas dan syiling lama dari beberapa negara namun semuanya telah dicuri.

Jadi kini saya lebih memilih untuk mengumpul barang-barang antik yang saiznya lebih besar bagi mengurangkan risiko dicuri,” katanya.

Muzium BM, yang memulakan o-perasi sejak 2010 itu, dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

Menurut Yong beliau tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung, meskipun terpaksa membelanjakan RM2,000 sebulan bagi penyelenggaraan muzium berkenaan, kerana baginya kepuasan tercapai apabila dapat berkongsi minat dengan orang ramai, khususnya generasi muda.

Dalam pada itu, katanya, muzium tersebut juga sering menerima pelawat daripada kalangan pelajar sekolah tempatan, kumpulan pengembara bermotosikal serta pelancong asing terutama peminat barangan antik. – Bernama