BARCELONA, 28 JUN – Pesta mudah alih terbesar di dunia namun dalam versi yang dihadkan telah berlangsung hari ini di Sepanyol di bawah kawalan ketat virus, dengan firma teratas mengelak kehadiran persemukaan selepas pandemik menjejaskan edisi tahun lalu.
Raja Sepanyol, Felipe V dan Perdana Menteri Pedro Sanchez bersama merasmikan Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) selama empat hari di Barcelona, salah satu persidangan teknologi terbesar yang pertama diadakan di Eropah sejak permulaan pandemik.
“Perniagaan kami beroperasi semula, kami kembali ke Barcelona, bersatu,” kata Mats Granryd, ketua pengarah persatuan industri, GSMA yang menganjurkan kongres itu semasa ucapan perasmiannya.
Acara itu yang biasanya diadakan pada Februari diadakan tahun ini secara persemukaan di pusat persidangan utama Barcelona secara bersemuka dan juga digital, dengan antara yang hadir secara dalam talian termasuk jutawan teknologi, Elon Musk.
Para peserta hanya dibenarkan masuk ke kongres jika mereka mempunyai ujian negatif COVID-19 yang disahkan kurang dari 72 jam dan perlu menandatangani pengesahan harian mengenai kesihatan mereka.
Para penganjur mengehadkan kehadiran pengunjung kepada 50,000 orang sebagai sebahagian daripada langkah kawalan COVID-19, berbanding dengan kehadiran biasa sekitar 100,000. Mereka menjangkakan hanya 30,000 hingga 35,000 orang saja yang hadir.
Kebanyakan firma-firma besar seperti Samsung, pembuat telefon pintar terkemuka dunia, Nokia, Google dan Facebook telah menarik diri daripada acara persemukaan itu, memetik kebimbangan virus meski-pun beberapa daripadanya akan mengambil bahagian secara maya.
Sementara itu Huawei, China, yang perniagaan telefon pintarnya dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat, akan menjadi pembuat handset terbesar dengan kehadiran fizikal di pameran itu bersama operator telekom lain seperti Orange dan Telefonica. – AFP