KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Acara MY Token pertama pada 14 hingga 15 September ini akan merubah landskap blok rantai dan Web3 di Malaysia dengan menghimpunkan perintis global dari seluruh dunia untuk mencorakkan masa depan inovasi blok rantai.
MY Token dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara tersebut akan menghimpunkan peserta industri penting seperti Horizen Labs, Forbes Web3, Polygon Chain, OX Media and Mocaverse yang menarik peserta dari seluruh dunia termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
“MY Token bakal menjadi titik tumpuan tokoh global dalam dunia blok rantai dan Web3, membawakan pengalaman lain daripada lain di rantau ini. Satu daripada aktiviti utama ialah Main Untuk Ganjaran (Play to Earn), membolehkan pengunjung mencari harta di sekitar petak yang turut serta.
“Dengan menyelesaikan cabaran dan mengumpulkan setem, ganjaran hebat boleh dimenangi termasuk peluang menaiki belon udara panas dan menyertai cabutan bertuah hebat yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM500,000,” menurut kenyataan itu.
Acara MY Token juga memaparkan teknologi, produk dan perkhidmatan blok rantai terkini, membolehkan pengunjung melihat sendiri inovasi yang membentuk persekitaran teknologi yang pelbagai.
Pengunjung juga boleh menyertai sesi pendidikan, bengkel amali dan panel pimpinan pakar yang berkongsi ilmu berharga tentang teknologi dan trend baru muncul, selain menyertai festival muzik pada 14 September dengan barisan penghibur dan artis terkenal.
Pengasas bersama MY Token, Sangeet Singh dalam kenyataan sama berkata tujuan platform berkenaan adalah menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, dengan menjalin kerjasama yang menentukan masa depan. – Bernama