Myanmar catat 100 kes baharu, lanjut sekatan

YANGON, 26 OGOS – Myanmar telah meluaskan lagi sekatan pergerakan (lockdown) di negeri Rakhine yang dilanda konflik kepada empat lagi perbandaran hari ini, menjejaskan pergerakan kira-kira 1 juta orang ketika jumlah kes koronavirus mula meningkat.

Kira-kira 100 jangkitan baharu telah disahkan di seluruh Myanmar dalam tempoh 24 jam – membawa jumlahnya kepada 574 – dengan negeri barat laut mencatatkan kes terbanyak.

Rakhine salah sebuah negeri termiskin di negara itu dengan kemudahan penjagaan kesihatan substandard dan kekurangan akses pendidikan di beberapa kawasan terpencil.

Ia juga menempatkan sekitar 130,000 etnik Rohingya yang beragama Islam yang berpindah akibat konflik dan ditempatkan di kem dalam apa yang Amnesty International sifatkan sebagai keadaan ‘aparteid’.

Kira-kira 150,000 lagi etnik Rakhine telah lari daripada pertempuran antara tentera Myanmar dan pemberontak etnik Rakhine.

Bandar negeri Sittwe telah dikenakan sekatan dan perintah berkurung malam sejak hujung minggu lalu dan hari ini arahan itu diperluaskan kepada empat perbandaran – Kyaukphyu, An, Taungup dan Thandwe.

“Penduduk dari empat perbandaran itu…diarahkan untuk berada dalam rumah,” menurut akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar, menambah bahawa hanya kenderaan yang diluluskan sahaja dibenarkan untuk menyediakan pengangkutan.

Bagaimanapun, pengecualian turut diberikan kepada para penjawat awam dan pekerja kilang serta hanya seorang ahli keluarga dibenarkan keluar membeli barangan keperluan. – AFP