Myanmar dakwa wartawan Jepun sebar berita palsu

YANGON, 4 MEI – Junta Myanmar telah menuduh seorang wartawan Jepun di bawah undang-undang ‘berita palsu’, kata sebuah laporan hari ini, dalam satu lagi tekanan terbaharu yang berkaitan dengan kebebasan media sejak rampasan kuasa tentera di negara itu.

Wartawan bebas, Yuki Kitazumi ditangkap bulan lalu dan didakwa kelmarin – Hari Kebebasan Akhbar Sedunia – dengan menyebarkan berita palsu, menurut laporan agensi berita Kyodo. Dia adalah salah seorang daripada 50 wartawan yang kini ditahan di Myanmar sebagai sebahagian daripada tindakan keras junta terhadap tunjuk perasaan yang meluas terhadap rampasan kuasa 1 Februari.

Negara itu sedang bergolak sejak pemerintah awam Aung San Suu Kyi digulingkan, dengan lebih daripada 750 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan berjuang untuk meleraikan demonstrasi hampir setiap hari menentang pemerintahan mereka.

Kyodo memetik seorang pegawai kedutaan Jepun yang tidak disebutkan namanya berkata Kitazumi tidak mempunyai masalah kesihatan, walaupun menghabiskan beberapa minggu di penjara Yangon, Insein, yang memiliki reputasi tidak memuaskan untuk menahan tahanan politik.

Kitazumi berada dalam tahanan sejak 18 April – kali kedua dia ditangkap sejak rampasan kuasa. Pada bulan Februari, dia dipukul dan ditahan semasa tindakan keras terhadap penunjuk perasaan tetapi kemudiannya dibebaskan.

“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Jepun yang ditahan,” kata Menteri Luar Negeri Toshimitsu Motegi kepada wartawan. – AFP