Myanmar digesa benarkan duta khas ASEAN temui Suu Kyi

SYDNEY, 15 OKT – Lapan buah negara dan ketua diplomatik Kesatuan Eropah (EU) hari ini menggesa junta Myanmar untuk membenarkan duta khas ASEAN bertemu pemimpin awam yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Gesaan itu dibuat ketika kebimbangan meningkat mengenai komitmen kerajaan tentera itu terhadap pelaksanaan konsensus lima perkara yang disepakati ASEAN untuk meredakan krisis berdarah yang tercetus susulan rampasan kuasa 1 Februari di Myanmar.

Menteri-menteri luar ASEAN bersidang secara maya hari ini untuk membincangkan sama ada untuk melarang ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN akan datang.

Pihak berkuasa tentera berkenaan telah menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan Duta Khas ASEAN iaitu Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, untuk bertemu sesiapa yang sedang dibicarakan, termasuk Suu Kyi.

Dalam satu kenyataan bersama, Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Korea Selatan, New Zealand, Norway dan Timor Timur berkata bahawa mereka “sangat bimbang mengenai situasi teruk di Myanmar” dan menggesa Naypyidaw untuk terlibat secara aktif dengan duta khas berkenaan.

Gambar fail bertarikh 22 April 2021 menunjukkan bendera-bendera negara anggota ASEAN berkibat di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia. – AP

“Kami juga menyeru tentera berkenaan memudahkan lawatan tetap ke Myanmar oleh duta khas ASEAN dan bagi beliau dapat bertemu secara bebas dengan semua pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu, yang juga disokong oleh ketua hal ehwal luar EU, Josep Borrell.

Ungkapan terakhir itu jelas merujuk kepada junta melarang duta khas ASEAN bertemu dengan Suu Kyi.

Dalam pada itu, hari ini, Thailand turut menyatakan harapan agar Duta Khas ASEAN dapat melawat Myanmar secepat mungkin dan meneruskan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata Thailand berharap ketika berada di sana Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dibenarkan bertemu dengan pihak-pihak yang berkaitan.

“Ini akan menjadi langkah pertama yang penting dalam proses mem-bina bertujuan untuk mendorong dialog antara pihak-pihak berkepen-tingan di Myanmar seperti yang diga-riskan dalam Konsensus Lima Perkara Pemimpin ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP/Bernama