Myanmar digesa tunda pilihan raya

YANGON, 15 SEPT – Parti pembangkang di Myanmar menggesa pilihan raya pada November ditangguhkan tatkala negara bergelut untuk mengawal penularan koronavirus.

Jangkitan baharu meningkat dua kali ganda setiap minggu, walaupun jumlah rendah, dan hospital di bandar terbesar Yangon sudah penuh sesak di sebuah negara dengan salah satu sistem penjagaan kesihatan paling lemah di dunia.

Peningkatan mendadak berlaku tatkala Myanmar bersedia untuk mengadakan pilihan raya negara pada 8 November, dengan pemimpin Liga Demokrasi Nasional (NLD) Aung San Suu Kyi dijangka kembali berkuasa.

Namun gesaan semakin meningkat meminta pengundian ditangguhkan.

Ketua parti pembangkang Kesatuan Perpaduan dan Pembangunan (USDP), Than Htay, memberitahu AFP bahawa beliau ‘amat bimbang’ untuk mengadakan pilihan raya semasa pandemik.

“Kerajaan tidak patut mengorban-kan rakyat…Jika situasi tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya, tangguhkan saja!”

Dalam kata-kata di Facebook, Parti Pelopor Rakyat juga menggesa penangguhan untuk membenarkan pengundian diadakan secara ‘adil dan tanpa gangguan.’

Media tempatan berkata sekurang-kurangnya tiga parti lain turut mengulangi gesaan tersebut.

Tempoh kempen pilihan raya 60 hari di Myanmar hanya bermula pada minggu lalu.

Satu penangguhan lebih daripada dua bulan dari segi teori akan mencetuskan krisis perlembagaan dan pelaksanaan keadaan darurat.

Namun penganalisis Richard Horsey meramalkan kerajaan dan tentera akan mencapai kata sepakat untuk menghalang sebarang krisis politik. – AFP