YANGON, 12 Mei – Kem yang menempatkan pelarian pengganut Buddha di Rakhine, Myanmar ditutup pada Khamis, menurut seorang pegawai lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).
Ia adalah kem pelarian kedua yang ditutup sejak beberapa minggu lepas sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menempatkan pelarian akibat keganasan perkauman yang melanda negara itu sejak 2012.
Mulai akhir bulan lepas, pihak berkuasa mula memindahkan 65 etnik Buddha dari kem Ka Nyin Taw di bahagian selatan Rakhine ke kampung berhampiran di Pyin Phyu Maw.
Pentadbir Bandar Kyauk Phyu, Nyi Nyi Lin memberitahu AA, penempatan semula pelarian di kem itu kini selesai dan kem berkenaan ditutup sepenuhnya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan pelarian dengan tanah, rumah dan bantuan lain, katanya.
“Kami juga merancang menyediakan pinjaman kecil bagi membolehkan mereka memulakan pekerjaan sebagai nelayan,” katanya.
Kem pelarian di Ramree yang menempatkan 55 keluarga Islam Kaman ditutup pada bulan lepas.
Kebanyakan mereka dipindahkan ke bandar Yangon dan bukan di kawasan asal di Ramree.
Sementara itu, seorang jurucakap wilayah Min Aung berkata kem pelarian ketiga dijangka ditutup sebelum musim monsun. – Bernama