SINGAPURA, 5 JAN – Myanmar memiliki ‘semua faktor yang boleh menjurus kepada perang saudara’, tekan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN menjelang lawatan Perdana Menteri, Hun Sen ke negara berkenaan.
Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, memberi amaran situasi yang berlaku di Myanmar bakal bertambah buruk ketika Hun Sen dijangka melawat negara berkenaan pada Jumaat dan Sabtu ini dalam usahanya untuk meredakan krisis tersebut.
“Krisis keselamatan dan politik di Myanmar semakin meruncing dan menjurus kepada krisis ekonomi, kesihatan dan kemanusiaan. “Kami berpandangan semua faktor yang boleh menjurus kepada perang saudara sudah jelas.
“Kini ada dua kerajaan, beberapa pasukan bersenjata, orang awam menjalani apa yang mereka panggil gerakan ketidakpatuhan awam dan terdapat peperangan gerila di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Acara itu diadakan di bawah Chatham House Rule, yang bermaksud speaker perlu terlebih dahulu memberi kebenaran sebelum komennya dilaporkan untuk memudahkan sikap terus terang.
Kementerian Luar Negeri Kemboja kelmarin memberi kebenaran kepada AFP untuk melaporkan komennya.
Hun Sen hari ini turut menggesa gencatan senjata, mengatakan ‘semua pihak berkenaan perlu menghentikan keganasan’.
“Berjaya atau tidak kita mencapai persetujuan dalam rundingan itu, saya menyeru bagi gencatan senjata kerana ia memberi manfaat kepada semua manusia – jangan biarkan orang mati atau dicederakan,” katanya pada acara di Phnom Penh.
Dalam kenyataan bersama, lebih 250 kumpulan penentang anti rampasan kuasa di Myanmar mengecam lawatan itu dan menggesa Hun Sen untuk membatalkannya. – AFP