Myanmar rampas dadah, peralatan bernilai AS$27 juta

YANGON, 2 MAC – Tentera-tentera Myanmar telah menyerbu beberapa makmal dadah haram dan merampas hampir AS$27 juta narkotik, bahan kimia dan peralatan, menurut akhbar tentera, The Myawady hari ini, tangkapan terbesar setakat ini pada tahun ini.

Gambar-gambar menunjukkan ratusan tong, beg dan kontena lain telah ditemui dalam operasi yang dipercayai menghasilkan methamphetamine terbesar di dunia.

Pasukan tentera telah menyerbu beberapa lokasi pada hujung minggu di perbandaran Kutkai di timur negeri Shan selepas menerima maklumat, menurut akhbar.

Mereka menemui sekitar 18 juta tablet, kira-kira 33kg heroin dan 281 tong asid disembunyikan dalam lubang tanah di samping peralatan lain, termasuk alat pemanas, mesin membuat tablet dan kenderaan.

“Ia adalah rampasan terbesar tahun ini,” kata pegawai polis dari jabatan antidadah memberitahu AFP, meminta untuk tidak dinamakan.

Industri dadah Myanmar yang bernilai bilion dolar itu berpusat di Shan di timur negara, di mana bukit-bukit yang diliputi pokok popi juga menyembunyikan makmal pengeluaran haram. – AFP