Myanmar setuju mula program hantar balik Rohingya tahun ini

DHAKA, 20 JAN – Myanmar bersetuju dengan permintaan Bangladesh untuk memulakan penghantaran balik pelarian Rohingya pada suku kedua tahun ini, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan pada rundingan tiga pihak yang menyaksikan China sebagai perantara.

“Kami mahu ia dimulakan pada suku pertama tahun ini, tetapi Myanmar minta diberikan lebih banyak masa untuk mengatur logistik dan beberapa perancangan lain. Jadi, kami mahu ia dimulakan pada suku kedua, dan mereka bersetuju,” kata Setiausaha Luar Bangladesh Masud Bin Momen selepas rundingan itu.

China akan memberikan vaksinasi COVID-19 percuma kepada penduduk Rohingya pada fasa pertama program penghantaran pulang itu.

Beberapa hari sebelum itu, Menteri Luar Bangladesh AK Abdul Momen berkata “penghantaran balik satu-satunya jalan keluar untuk mengakhiri krisis Rohingya dan tiada alternatif lain.”

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan dikeluarkan kemudian berkata “Myanmar telah membuat semua perancangan yang diperlukan dan menegaskan kesediaan Myanmar untuk menerima semula pelarian Rohingya.” – Bernama

Gambar fail 17 Januari 2018 menunjukkan kanak-kanak pelarian Rohingya bertolak-tolakan untuk menerima paket makanan Khichdi dekat Cox’s Bazar, Bangladesh. – AP