Myanmar siasat kematian dua remaja di pusat juvenil

YANGON, 9 OGOS – Pihak berkuasa berkata hari ini mereka akan menyiasat kematian dua remaja di pusat juvenil Myanmar selepas keluarga salah seorang mangsa mendakwa ia kes penderaan, dalam skandal yang melanda sistem tahanan di negara itu.

Pusat juvenil milik kerajaan Myanmar seperti penjara, telah berdepan aduan lama berhubung penuh sesak, kekurangan sanitasi dan makanan.

Dua remaja berusia 17 tahun, Pyae Phyo Maung dan Khaing Zaw Tun telah dikenakan tahanan bulan lalu kepada dua tahun di Pusat Pemulihan Komuniti Mandalay atas kesalahan mencuri.

Mereka tiba di kemudahan itu dan melarikan diri beberapa hari kemudian, menurut akhbar kerajaan, Global New Light of Myanmar. Kedua-duanya meninggal dunia selepas berjaya ditangkap semula. Kerajaan serantau Mandalay dan Kementerian Kebajikan Sosial yang menyelia pusat tahanan juvenil negara itu berkata hari ini mereka telah melancarkan siasatan. Ibu Pyae Phyo Maung memberitahu AFP, hatinya ‘robek’ dan menuntut jawapan atas kematian anak lelakinya itu. “Wajahnya ada kesan lebam dan cedera. Kami mahu kebenaran,” kata Myo Myo Htwe, 42.

Keluarga itu merasa sangsi dengan kecederaan yang ditemui pada mayat kedua-dua remaja lelaki berkenaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Kebangsaan Myanmar sudah pun mengumumkan ia akan menjalankan siasatan ke atas punca kematian tersebut. Pusat tahanan itu menempatkan hampir 500 tahanan, lebih daripada berganda daripada kapasitinya, kata menteri kerajaan Mandalay, Myo Thit.

“Kanak-kanak perlu mengawal diri mereka sendiri dan ia telah menjadi seperti penjara,” katanya kepada AFP.

Ketua kementerian, San San Aye berkata rakaman CCTV menunjukkan remaja-remaja berkenaan ‘bertengkar di kawasan pusat itu’ bersama tahanan yang lebih berusia, namun tidak mengatakan sama ada ia menyebabkan kematian dua remaja tersebut. – AFP

Gambar yang diambil pada 6 Ogos menunjukkan saudara dan ahli keluarga menatap mayat Khaing Zaw Tun, yang telah ditahan di pusat juvenil di hospital awam Mandalay. – AFP