Myanmar tahan polis berhubung video dera Rohingya

YANGON, 2 Jan – Myanmar berkata hari ini ia telah menahan beberapa orang pegawai polis berhubung rakaman video daripada rakan anggota polis yang menunjukkan mereka telah memukul orang awam Rohingya, satu pengakuan luar biasa penganiayaan ke atas minoriti Islam itu.

Berpuluh-puluh ribu orang dari kumpulan etnik yang dianiaya, yang dibenci oleh kebanyakan minoriti Buddha, Myanmar, telah melarikan diri dari operasi tentera di negeri Rakhine, yang dilancarkan selepas serangan ke atas pos kawalan polis.

Negara jiran Bangladesh berkata kira-kira 50,000 orang Rohingya telah melarikan diri ke seberang sempadannya dalam tempoh dua bulan lalu.

Ramai yang telah membawa cerita mengganggu perasaan tentang perogolan, pembunuhan dan pembakaran yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar.

Berpuluh-puluh video telah muncul yang jelas menunjukkan penderaan ke atas Rohingya, namun ini adalah pertama kalinya kerajaan telah berkata ia akan mengambil tindakan ke atas mereka.

Kisah-kisah pelarian telah mengundang kecemasan dunia dan merangsang bantahan ke atas pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dituduh tidak cukup berusaha untuk membantu Rohingya.

Kerajaan beliau berkata pasukan tentera sedang memburu para militan yang menjadi dalang di sebalik serangan maut ke atas pos kawalan sempadan polis, dengan menolak dakwaan tentang kekejaman ke atas laporan awam itu.

Bagaimanapun hari ini pihak berkuasa berjanji akan mengambil ‘tindakan ke atas polis yang dikatakan memukul para penduduk kampung ketika operasi pemeriksaan kawasan pada 5 November lalu di kampung Kotankauk’.

Pejabat Suu Kyi menamakan empat pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut termasuk konstabel Zaw Myi Htike, yang kelihatan acuh tidak acuh sambil merokok memandang kamera ketika dia merakamkan video.

“Mereka yang telah dikenal pasti itu telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Siasatan selanjutnya telah dijalankan untuk mendedahkan para pegawai polis lain yang memukul penduduk kampung dalam operasi itu.”

Rakaman itu menunjukkan polis memukul kepala seorang budak lelaki ketika dia berjalan ke arah berbelas-belas penduduk kampung yang berbaris duduk dalam barisan di kawasan tanah, dengan tangan mereka diikat. – AFP