Myanmar tegah calon Rohingya daripada bertanding

YANGON, 12 OGOS – Seorang etnik Rohingya Islam telah ditegah daripada bertanding dalam pilihan raya Myanmar akan datang, dalam keputusan yang dikecam oleh kumpulan hak asasi kemanusiaan sebagai diskriminasi dan simptom ‘genosid berterusan’ ke atas kaum minoriti yang ditindas.

Operasi tentera 2017 mengusir 750,000 Rohingya keluar dari negara menuju ke kem pelarian di negara jiran Bangladesh, mencetuskan dakwaan genosid di mahkamah agung PBB.

Myanmar telah menafikan tuduhan itu dan memberikan alasan operasi tentera itu bertujuan untuk menghapuskan pengganas.

Sementara 600,000 lagi etnik Rohingya masih berada di Myanmar namun kebanyakannya tidak dianggap sebagai rakyat dan tidak akan mempunyai undi, hidup dalam apa yang Amnesty International gambarkan sebagai keadaan ‘aparteid’.

Tiga parti diketuai Rohingya berharap mengisi kira-kira puluhan calon dalam undian November, menurut pemerhati serantau Fortify Rights.

Namun Abdul Rasheed, 58, seorang anggota Parti Hak Asasi Kemanusiaan dan Demokrasi memberitahu AFP hari ini pencalonannya telah ditolak oleh suruhanjaya pilihan raya daerah di bandar Sittwe negeri Rakhine sehari sebelumnya.

Suruhanjaya berkata ini adalah kerana ibu bapanya bukan warga Myanmar ketika dia dilahirkan, kata Rasheed – walaupun dia telah membuktikan kedua orang tuanya dan neneknya diberikan kerakyatan pada 1957, empat tahun sebelum dia dilahirkan. – AFP

Abdul Rasheed yang ditolak permohonannya untuk bertanding pilihan raya di pejabat parti di Yangon pada 12 Ogos. – AFP