Myanmar terima kepulangan pelarian pertama

YANGON, 15 April – Kerajaan Myanmar semalam berkata ia menghantar pulang keluarga Rohingya yang pertama daripada kira-kira 700,000 pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh yang mengelak daripada tindakan ganas tentera, di sebalik amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa kepulangan mereka dengan selamat masih tidak terjamin.

Penduduk minoriti Islam itu telah berkumpul di kem-kem yang penuh sesak di Bangladesh sejak tentera Myanmar melancarkan tindakan keras ke atas komuniti berkenaan di utara negeri Rakhine Ogos lalu.

PBB berkata kempen itu bersamaan dengan pembersihan etnik, tetapi Myanmar menyangkal dakwaan tersebut, dengan berkata tenteranya hanya menyasarkan kumpulan militan.

Gambar serahan Jawatankuasa Maklumat Kerajaan Myanmar menunjukkan para pegawai imigresen memeriksa dokumen keluarga Rohingya yang pertama kembali ke Myanmar di sebuah pusat penerimaan di Taung Pyo, Letwe, utara Rakhine. – AP

Bangladesh dan Myanmar telah berjanji untuk memulakan proses pemulangan pada Januari tetapi rancangan tersebut telah ditangguhkan berkali-kali kerana kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh atas kekurangan persediaan.

Menurut kenyataan kerajaan Myanmar yang disiarkan lewat semalam, sebuah keluarga daripada pelarian Rohingya menjadi keluarga yang pertama pulang pada awal semalam.

“Lima ahli keluarga telah kembali ke kem pemulangan di bandar Tsungpyoletwei, negeri Rakhine pagi ini,” menurut kenyataan Jawatankuasa Maklumat Kerajaan menerusi laman rasminya di Facebook. – AFP