Myanmar: Thailand pertahan keputusan berkecuali Resolusi UNGA

BANGKOK, 21 JUN – Thailand mengambil sikap berkecuali daripada mengundi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai ketetapan berhubung situasi di Myanmar pada 18 Jun, kerana beranggapan ia tidak mengambil kira aspek sejarah dan keadaan sebenar.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat, berkata ia mungkin mencetuskan kesan sebaliknya ke arah usaha mencari penyelesaian aman di negara itu.

“Sebagai negara yang berkongsi sempadan sejauh 2,400 kilometer selain hubungan pelbagai dimensi dengan Myanmar, Thailand tidak berada pada kedudukan selesa untuk memisahkan diri dengan Myanmar seperti yang dinikmati banyak negara lain.

“Apa yang berlaku di Myanmar hari ini mempunyai kesan langsung aspek keselamatan terhadap Thailand di kemudian hari,” katanya yang dipetik akhbar Bangkok Post. Pada Jumaat, resolusi mengenai Situasi di Myanmar menerima 119 undi menyokong,  satu menentang dan 36 berkecuali termasuk China, India, Rusia, Thailand, dan Laos.

Resolusi itu meminta keganasan ditamatkan serta pembebasan segera pemimpin politik yang ditahan. – Bernama