MyDIGITAL jangka buka peluang 500,000 pekerjaan – PM

KUALA LUMPUR, 19 FEB – Inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan hari ini dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan bakal menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan sehingga tahun 2030.

“Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK negara,” kata beliau pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia hari ini secara maya.

Muhyiddin menambah kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang.

Selain itu, beliau berkata bahawa inisiatif-inisiatif di bawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang. – Bernama

MyDIGITAL dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan bakal menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK Malaysia. – AP