Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MYHSR, LTA lantik InfraCos kendali operasi HSR

    KUALA LUMPUR, 28 Sept – MyHSR Corporation Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura melantik syarikat infrastruktur (InfraCos) untuk mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggarakan infrastruktur awam dan mengendalikan stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura di wilayah masing-masing.

    Dalam kenyataan bersama hari ini, MyHSR dan LTA berkata InfraCos akan membayar syarikat aset (AssetsCo) pembayaran ketersediaan, yang merangkumi perbelanjaan modal dan kos operasi, penyelenggaraan dan pembaharuan aset HSR, tidak termasuk gerabak dan peralatan di depot.

    “Ini bagi AssetsCo memastikan ketersediaan aset HSR bagi syarikat operasi (OpCos) untuk mengendalikan perkhidmatan ekspres, domestik dan ulang-alik,” katanya.

    AssetsCo adalah syarikat aset yang dibiayai secara persendirian, bertanggungjawab ke atas reka bentuk, pembinaan, pembiayaan, pengoperasian dan penyelenggaraan semua gerabak dan aset kereta api.

    MyHSR dan LTA berkata OpCos akan membayar AssetsCo, bayaran pajakan kereta api, yang meliputi kos berkaitan kereta api AssetsCo, selain operasi, penyelenggaraan dan kos pembaharuan peralatan di depot.

    Dalam pada itu, AssetsCo akan menyediakan kereta api bagi OpCo International untuk mengendalikan perkhidmatan ekspres dan ulang-alik, dan OpCo Domestic mengendalikan perkhidmatan domestik.

    Mereka berkata AssetsCo akan diperoleh secara bersama oleh InfraCos Malaysia dan Singapura secara terbuka, adil dan telus, sambil menambah tender AssetsCo akan ditawarkan pada akhir tahun, dan akan dinilai berdasarkan kualiti cadangan.

    Keputusan tersebut diumumkan semasa taklimat industri kedua pada 26 Sept, yang menyediakan maklumat lanjut mengenai tender AssetsCo. Ia mengambil kira perkara utama yang timbul daripada taklimat industri yang pertama dan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

    Lebih 200 peserta dari lebih 110 organisasi antarabangsa menghadiri sesi tersebut.

    MyHSR dan LTA berkata landasan berkembar yang baharu akan turut dibina antara Kuala Lumpur dan Singapura. Ia direka untuk menampung semua jenis kereta api berkelajuan tinggi konvensional dan teknologi yang terdapat dalam pasaran, dengan kelajuan 350 kilometer sejam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda