KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu Aku Punya Hati, Mytha Lestari mengesahkan bakal berduet dengan Ayda Jebat dan Aisyah Aziz dalam satu projek khas.
Mytha atau nama sebenarnya Paramytha Lestari Mulyarto, 27, berkata, lagu yang bakal dirakam sedikit masa lagi itu merupakan lagu terbaik yang pernah didengar setakat ini.
“Lagunya keren (bagus) sekali! Saya sendiri berasa teruja untuk merakamkannya bersama Ayda dan Aisyah.
“Namun, buat masa ini, judul dan komposernya masih perlu dirahsiakan,” katanya.
Mytha singgah ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan single terbaharunya, Takkan Pernah Mati yang dijadikan runut bunyi bagi filem seram, Nini Thowok.
Dalam pada itu, Mytha turut menyatakan rasa teruja untuk berkolaborasi dengan dua bintang popular daripada dua buah negara yang berbeza.
“Ayda merupakan seorang yang sangat comel dan Aisyah pula sangat baik hati. Saya tidak sabar untuk berkolaborasi dengan mereka,” katanya lagi.
Lagu Aku Punya Hati dijadikan sebagai lagu runut bunyi bagi drama Suri Hati Mr. Pilot sekitar dua tahun lalu dan telah didengar di platform penstriman digital Spotify sebanyak lebih tiga juta kali.