Myvi baharu moden, miliki ciri keselamatan 5 bintang

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

Walaupun dari segi luarannya nampak kecil, Perodua Myvi 1.3G terbaharu menawarkan ruang yang cukup luas buat penulis yang berkesempatan menjadi penumpang semasa uji pandu kereta subkompak atau supermini (segmen B), baru-baru ini.

Diperkenalkan oleh pengedar rasmi Perodua di Brunei Darussalam, Syarikat GHK Motors Sdn Bhd, penulis bersama rakan diberi peluang oleh syarikat terbabit untuk mengalami sendiri apa yang mampu ditawarkannya.

Sepanjang uji pandu yang dimulakan dari sebuah hotel di Anggerek Desa dengan menggunakan Jalan Utama Mentiri untuk menuju ke kawasan berhampiran Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, perjalanan kami dirasakan amat selesa, lancar dan lincah mungkin kerana rangkanya yang kecil dan ringan.

Selain itu, walaupun membawa empat penumpang dewasa, masih terdapat ruang berlebihan dengan kerusi belakang juga boleh dilipat kepada 60:40 menjadikan ruang berkeluasan hingga 277L untuk ruangan penyimpanan lebih luas dan memuatkan lebih banyak barangan.

Enjin bertenaga

Apabila perjalanan uji pandu dimulakan, dapat dirasakan Myvi mempunyai kuasa enjin yang kuat, ini adalah hasil kuasa yang diberikan daripada enjin 1NR-VE 1.3L EEV (Energy Efficient Vehicle) yang menggunakan aluminium, timing-chain, DOHC empat silinder dengan Dual VVT-I, serta mempunyai 94 kuasa kuda (HP) dan 121Nm tork hasil dari enjin 1.3L empat silinder.

GHK Motors memperkenalkan Perodua Myvi 1.3G baharu jenis kompak yang mendapat penilaian keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP.
Ruang dalaman kereta Perodua Myvi baharu.
Perodua Myvi 1.3G mampu memberi keselesaan kepada pemandunya.
Myvi turut dilengkapi lampu depan LED dengan fungsi auto-off.

Myvi juga didatangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan, dan kecekapan minyaknya begitu rendah dengan purata 20.3km/l.

Ia juga dikatakan mempunyai putaran radius terkecil apabila membuat pusingan, hasil daripada pangkalan roda pendek berukuran 2,500mm.

Ini menjadikan Myvi mampu membuat pusingan pada kadar radius cuma 4.8 meter sahaja.

Semasa giliran penulis untuk menguji pandu Perodua Myvi, penulis menguji sendiri membuat pusingan di kawasan lapang dan ternyata Myvi benar-benar mampu membuat pusingan di kawasan sempit dengan mudah.

Ini bagi penulis, adalah berguna terutama semasa menghadapi kawasan yang sempit untuk membuat pusingan, contohnya ketika seseorang itu menghadapi kawasan letak kereta yang penuh dan terdapatnya jalan mati.

Fungsi ini akan memudahkan seseorang itu berpatah balik dari kawasan tersebut dengan mudah.

Ikut arus kemodenan

Dari segi dalamannya, apa yang disedari dari awal lagi ialah Myvi turut mengikuti arus kemodenan dengan dilengkapi punat ‘Push Start’ dan juga memperkenalkan konsep digital bagi penggunaan radio dan multimedia, serta pada sistem kawalan penghawa dingin yang menjadikannya mudah untuk dikawal.

Bagi keselamatan pemandu dan juga penumpang, Perodua Myvi juga mempunyai ciri-ciri keselamatan dengan menampilkan empat beg udara, dua di bahagian pemandu dan dua lagi di bahagian penumpang duduk hadapan, manakala cermin juga dilengkapi dengan pelindung anti-jam.

Dengan ciri-ciri ini, Perodua Myvi mendapat penilaian keselamatan lima bintang penuh dalam Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Selain itu, juga terdapat peringatan tali keledar di bahagian papan pemuka bagi mengingatkan pemandu dan juga penumpang di bahagian depan dan belakang untuk menggunakan tali keledar, dan ciri-ciri keselamatan yang selalunya ada di mana-mana kenderaan lain seperti Anti-lock Braking System (ABS) dengan sistem Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Braking Assistance (BA), Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control dan Reverse sensor.

Semua yang mampu ditawarkan mengetengahkan ciri-ciri menarik yang ada di dalamnya serta ciri-ciri keselamatannya boleh dimiliki oleh kebanyakan orang memandangkan ia ditawarkan dalam harga yang berpatutan dan mampu milik.