N3C19 selaras bantuan logistik ke pusat-pusat pengasingan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JKR

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Negara Brunei Darussalam kini sedang dilanda gelombang kedua penularan wabak COVID-19 dan sepertimana yang dapat dilihat melalui siaran-siaran berita, agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan serta sukarelawan dan orang awam telah berganding bahu dan bekerjasama dalam usaha membendung wabak tersebut.

Dalam hubungan itu, kerajaan telah menubuhkan Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19) yang terletak di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC).

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan hari ini, N3C19 merupakan usaha sama semua pihak menangani pandemik COVID-19 di peringkat nasional, terdiri daripada para pegawai dan kakitangan kerajaan 13 buah kementerian serta disokong oleh sektor-sektor swasta.

Pusat berkenaan ditubuhkan bagi menjaga kebajikan penduduk di negara ini yang terjejas oleh wabak COVID-19 di mana antara tugas-tugas utamanya adalah sebagai sebuah pusat penyelarasan logistik untuk para pesakit COVID-19 yang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) dan di pusat-pusat pengasingan lain, penyelarasan pengagihan makanan kepada orang ramai yang dalam Perintah Kuarantin serta penyelarasan bagi pakej sumbangan kepada pusat pengedaran makanan.

Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan bukan kerajaan iaitu pihak kontraktor yang berdaftar di Kementerian Pembangunan, juga telah terlibat sama di N3C19. Sebanyak 20 buah pihak kontraktor telah menyumbangkan tenaga kerja dan asetnya dalam sama-sama membendung wabak itu.

Kontraktor-kontraktor berkenaan adalah PARM Sdn Bhd, Hiew HY Construction Sdn Bhd, Pahaytc Sdn Bhd, Swee Sdn Bhd, Amberhigh Sdn Bhd, Ocean Quarry & Construction Sdn Bhd, Elmech Engineering Sdn Bhd, Beaver Engineering Sdn Bhd, JYC Sdn Bhd, Foundation Contractor & Engineering Sdn Bhd, Astal Engineering Sdn Bhd, PRO Builder Sdn Bhd, Indramas Sdn Bhd, PBR Group Sdn Bhd, TSL Construction Sdn Bhd, HSE Engineering Sdn Bhd, Normila Sdn Bhd, LCY Development Sdn Bhd, LT & J Construction Sdn Bhd dan GR Technic Sdn Bhd.

Sejak tercetusnya gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini pada Ogos lalu, sebanyak 74 penghantaran telah dibuat oleh pihak-pihak kontraktor Kementerian Pembangunan ke pusat-pusat pengasihan.

Kenyataan menerangkan bahawa antara barang-barang yang dihantar oleh pihak kontraktor adalah makanan asasi seperti beras, makanan kering dan air botol, barang-barang keperluan mandi seperti sabun mandi dan tuala, barang-barang keperluan dapur seperti cerek, mesin pencuci pakaian, tong sampah dan dispenser air, barang-barang keperluan bilik tidur seperti katil, tilam dan bantal serta barang-barang keperluan bagi petugas dan sukarelawan seperti mesin cetak, kerusi dan meja.

Kakitangan kerajaan dan kontraktor bekerjasama mengangkat keperluan logistik berupa tilam ke pusat-pusat pengasingan di negara ini.
Mesin pencuci pakaian yang disumbangkan oleh kontraktor yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan untuk pusat-pusat pengasingan.