Nabihan Amsyar pamer aksi bola sepak gaya bebas

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Awang Muhammad Nabihan Amsyar bin Haji Puspa menduduki tempat kelima dalam Pertandingan Freestyle Football Video Challenge kategori sekolah rendah yang dianjurkan oleh Unit Jasmani Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

Penyampaian hadiah disampaikan oleh Dayang Siti Badariah binti Tahir dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum di Sekolah Pembelajaran Tinkerbell semalam setelah pengumuman keputusan.

Pertandingan diadili berdasarkan video yang dihantar di mana pelajar menunjukkan bakat bola sepak mereka tersendiri.

Dua kategori dipertandingkan iaitu peserta pelajar dari sekolah rendah dan menengah serta kolej di Negara Brunei Darussalam.

Pertandingan itu hanya terbuka untuk semua pelajar lelaki di sekolah rendah, menengah dan kolej sahaja.

Awang Muhammad Nabihan Amsyar menduduki tempat kelima dalam Pertandingan Freestyle Football Video Challenge kategori sekolah rendah.

Video berdurasi selama 86 saat itu, Awang Muhammad Nabihan menunjukkan beberapa siri gerakan dan latihan bola sepak dengan bantuan peralatan seperti tangga dan rintangan.

Dalam salah satu siri gerakannya, penuntut tahun lima yang berbakat itu mempamerkan kemahiran dan kepantasan menggelecek bola.

Pemain berusia 10 tahun itu menerapkan asas permainan yang dia pelajari sejak zamannya sebagai ahli Akademi Puspa United.

Bapanya Haji Puspa bin Haji Muhammad yang juga merupakan pengasas Puspa United Academy, menekankan perlunya kepantasan dalam melakukan juggling dan gerak kaki serta ketepatan kawalan.

Haji Puspa, yang merupakan pelatih bola sepak akar umbi yang diperakui peringkat antarabangsa dan melatih pemain junior di Peak Performance Sdn Bhd, menambah bahawa
pemain mesti mahir dalam rintangan tangga.

Setiap peserta dinilai berdasarkan tiga komponen iaitu bermain, kesukaran dan kreativiti.

Untuk mendapatkan markah yang baik dari para juri, para peserta mesti mempunyai kemampuan untuk menggabungkan pelbagai teknik dan tahap kesukaran yang tinggi serta dapat mengembangkan repertoir teknik mereka dan tidak mengulangi skil yang sama sepanjang persembahan mereka.

Di antara peraturan dan syarat cabaran yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur termasuk penilaian dan pemarkahan yang dilakukan oleh hakim yang dilantik Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan para peserta juga diharuskan memakai pakaian sukan yang sesuai.

Kandungan dan persembahan video mestilah karya asli peserta dan mereka juga diminta untuk memperlihatkan keseluruhan aksi gerakan mereka sepanjang rakaman video.