Nabil Ahmad mohon doakan terus Istiqamah

Perubahan pengacara dan pelawak Nabil Ahmad yang kini berhijrah dengan mendekatkan diri ke jalan Allah semakin diterima ramai.

Namun tidak kurang juga menganggap perubahan Nabil, 38, hanya bermusim memandangkan dia ditugaskan mengacara program keagamaan, N to N bersama rakan selebriti Neelofa Mohd Noor.

Menurut Nabil dia tidak dapat menutup mulut orang daripada berkata-kata namun meminta semua pihak mendoakan dia sentiasa istiqamah dengan penghijrahan tersebut.

“Saya hanya minta (warganet) terus doakan saya istiqamah sebab agama ini tidak bermusim. Kalau nak tahu, tawaran mengacarakan program agama ini datang selepas saya berhijrah.

“Kalau dia datang sebelum saya berhijrah, mungkin saya sendiri tak bersedia nak ambil job tersebut sebab bukan mudah nak kendalikan rancangan agama kalau kita tidak ada kefahaman tentang agama itu sendiri.

“Salah satu sebab saya setuju buat program ini kerana nak jumpa ustaz-ustaz hebat agar mereka dapat terus doakan saya istiqamah dalam penghijrahan. Penghijrahan saya bukan bermusim sebab setiap masa sebenarnya kita kena dekat dengan agama,” katanya kepada wartawan.

Tidak seperti kebiasaan selebriti yang sudah berhijrah pasti mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang seni, namun hal ini berlainan pula buat Nabil.

Nabil menganggap ia satu tanggungjawab buatnya untuk berdakwah kecil dalam kalangan rakan-rakan selebriti agar perkara itu dapat dikongsikan bersama mereka. – Agensi

Menurut Nabil dia tidak dapat menutup mulut orang daripada berkata-kata namun meminta semua pihak mendoakan dia sentiasa istiqamah dengan penghijrahan tersebut. – Agensi