Nabil Ahmad teroka bidang animasi

Selepas berjaya dalam bidang pengacara dan komedi, pelawak terkenal Nabil Ahmad mengorak langkah baharu dengan menceburi bidang animasi.

Biarpun kini hanya disiarkan di YouTube, Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, berharap siri kartun animasi berjudul Lu Pikir La Nabil terbitannya dapat ditayangkan di televisyen suatu hari nanti.

“Alhamdulillah… memang macam tak percaya dah ada siri animasi sendiri. Penonton pun beri respons yang sangat baik.

“Buat masa ini siri ini hanya disiarkan di YouTube tapi saya mengharapkan ia dapat dibawa pula ke kaca TV pula.

“Memang saya sangat teruja dan gembira sebab jadi yang pertama keluarkan siri animasi tapi ikutkan abang Imuda pun pernah keluarkan filem animasi.

“Jadi, sedikit sebanyak, filem dia itu memberikan inspirasi kepada saya,” kata Nabil kepada wartawan.

Episod pertama animasi Lu Pikir La Nabil telah dilancarkan pada 14 Oktober manakala episod akhir pada 4 November lalu.

Siri tersebut juga mempunyai episod khas yang akan ditayangkan di saluran YouTube.

Dalam pada itu, pengacara berusia 38 tahun ini memberitahu dia mendapat ilham selepas mengimbau kenangan membesar dengan siri animasi Usop Santorian dan Anak-Anak Sidek.

“Selalu orang buat biografi atau cerita tapi saya berfikir apa cara lain untuk saya kongsi pengalaman hidup saya dari kecil.

“Saya teringat masa kecil, saya suka tengok cerita Usop Sontorian dan Anak-Anak Sidek. Satu hari itu saya terfikir untuk buat kartun sendiri.

“Sebab rasanya masih belum ada selebriti yang buat. Saya pun banyak mencuba pelbagai bidang seni. Jadi, ini juga salah satu percubaan baharu saya,” ujarnya. – Agensi

Nabil mendedahkan siri animasi Usop Santorian dan Anak-Anak Sidek menjadi sumber ilham karya seni animasinya. – Agensi