Nabil Mahir syukur bebas jangkitan

Sakit tekak, batuk dan selesema sejak enam hari lalu, pengacara Nabil Mahir tidak bertangguh menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan dirinya bebas wabak itu.

Menerima laporan ujian yang diambil kelmarin, Nabil, 32, bersyukur keputusan diperoleh negatif.

“Saya selesema dan batuk sejak enam hari lalu. Saya jadi lebih risau apabila sesak nafas, dua hari lalu.

“Saya panik apabila sesak nafas dalam tempoh yang agak lama… Tiba-tiba sahaja. Saya ada asma tetapi serangan kerap seperti ketika bersekolah dahulu. Tidak mungkinlah selepas sekian lama, asma kembali menyerang.

“Itu yang membuatkan saya risau dan melakukan ujian saringan COVID-19 di sebuah pusat perubatan di Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Nabil bersyukur laporan ujian saringan COVID-19 yang diterima adalah negatif. – Agensi

“Alhamdulillah, keputusannya negatif. Saya lega tidak dijangkiti COVID-19 biarpun saya menunjukkan simptom jangkitan virus itu,” katanya kepada BH Online.

Nabil juga mengakui demam, namun tidak berterusan selepas mengambil ubat.

Nabil berkata, dia tidak keluar rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Saya tidak keluar rumah. Tetapi apabila tidak sihat, saya jadi takut apabila sakit tekak, selesema dan demam. Malah, saya hilang deria bau, saya tidak boleh bau apa-apa sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Biarpun keputusan ujian saringan diterima negatif, Nabil berkata, dia tetap menjauhkan diri daripada keluarga.

“Saya teruskan kuarantin. Paling dirisaukan adalah keselamatan keluarga, saya tak mahu ia menjadi punca keluarga jatuh sakit.

“Biarpun bukan COVID-19, saya bimbang mungkin ada sakit lain yang boleh membuatkan keluarga terkena jangkitan,” katanya. – Agensi