Berita pelawak Pak Ya atau nama sebenar Ilya Buang yang didakwa disekat daripada membuat persembahan di Shah Alam mengejutkan ramai pihak termasuklah rakan artis.
Pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad mengakui turut terkejut dan terkesan dengan nasib yang menimpa pelawak senior itu.
“Saya agak terkesan dan berharap semuanya dapat diselesaikan dengan baik… kita semua tahu Pak Ya ada sakit kencing manis dan semoga dipermudahkan untuk dia terus mencari rezeki.
“Dulu masa dia dijemput ke program MeleTop saya tanya kenapa nak masuk Maharaja Lawak Mega… dia kata nak gunakan duit untuk bayar kos rawatan kencing manis.
“Apabila dengar berita dia kena sekat bertambah kasihan dekat dia, mungkin isu lepas boleh dimaafkan, semoga dimurahkan rezeki untuk Pak Ya,” katanya kepada media.

Pada 25 Januari lalu, Ilya meluahkan rasa terkilan apabila namanya didakwa disekat pihak tertentu daripada membuat kemunculan dalam dua episod sitkom Sepahtu Reunion Live 2020 yang bersiaran secara langsung di Royal Teater, Shah Alam.
Menurutnya, isu berkenaan bermula kerana dialog di final Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 baru-baru ini bersama kumpulan Rare yang turut dianggotai oleh Ajak Shiro dan Ropie yang dikatakan menyindir kerajaan.
Dalam pada itu, Nabil turut menasihati rakan seperjuangannya agar lebih berhati-hati dalam memilih bahan komedi yang ingin disampaikan supaya ia tidak menjejaskan pelawak itu sendiri.
“Masing-masing ada pilihan untuk cakap sesuatu dan gunakan apa saja idea dalam melakukan aksi komedi kerana lawak bersifat subjektif.
“Jika mendatangkan kebaikan, maksudnya ia adalah idea atau kenyataan yang baik.
“Justeru, setiap yang dilakukan atau dituturkan akan ada implikasinya. Kalau lawak itu menjadi, maka akan jadilah. Kalau sebaliknya, pasti ada pihak yang akan rasa ia sebagai sesuatu yang salah,” ujarnya. – Agensi




























