Nabila Huda kurang setuju penggambaran dibenarkan

Meskipun rindu ingin kembali berlakon namun pelakon Nabila Huda tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan penggambaran dijalankan dalam situasi krisis wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Nabila, 36, berkata banyak persoalan yang bermain di fikirannya dan antaranya berhubung dengan tindakan yang akan diambil pihak produksi jika kru atau pelakon dijangkiti Covid-19 ketika penggambaran.

“Macam mana kalau kita shoot, tapi kita terkena jangkitan didapati positif, produksi boleh tak cover kos perubatan 100 peratus? Boleh tak, produksi jamin 100 peratus kita tak akan dijangkiti ketika bekerja?

“Macam mana kalau kita dijangkiti ketika penggambaran dan kemudian kita tak tahu, sekali terkena pada seluruh keluarga di rumah, produksi boleh tanggung kos perubatan untuk seluruh keluarga?

“Persoalannya, macam mana kalau kita dijangkiti ketika penggambaran? Adakah pasti anda akan ambil risiko? Soal nyawa, semua ada keluarga. Kalau keluarga dijangkiti itu adalah perkara paling menakutkan.

Nabila memohon maaf jika ada pihak terasa hati dengan pandangannya itu. – Agensi

“Bayangkan ibu bapa kita atau anak dijangkiti disebabkan kita, adakah anda rasa menyesal? Terlalu banyak persoalan bermain dalam fikiran bila saya terbaca fasal kenyataan nak mula penggambaran,” katanya di Twitter.

Menerusi laporan mStar pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan kebenaran meneruskan aktiviti seni telah diluluskan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, penggiat seni haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dan tidak akan mengabaikan saranan kerajaan itu.

Dalam pada itu, Nabila tetap berasa bimbang dengan penjarakan sosial jika ada babak yang melibatkan orang ramai walaupun penggambaran boleh dilakukan mengikut SOP.

“Kalau la kita dibenarkan untuk kembali penggambaran kena mengikut SOP, macam mana nak berlakon dengan cara new normal? Tak logik. Bukan tak setuju, faham semua dah kalut tak bekerja.

“Saya pun dalam keadaan yang sama. Saya rindu nak masuk set. Sebagai contoh, penggambaran di lokasi luar untuk babak melibatkan orang ramai, babak gaduh, macam mana nak buat dalam keadaan penjarakan sosial?

“Semua kru pakai mask ketika penggambaran, macam mana dengan kami pelakon? Masa tengah berlakon, kena buka mask lepas itu pakai balik bila pengarah cakap cut?” ujarnya.

Sementara itu, Nabila meluahkan rasa gembira melihat rakan-rakan di belakang tabir yang berniaga secara talian demi menampung kehidupan harian mereka tanpa meminta simpati daripada mana-mana pihak. – Agensi