Nabila tumpang populariti MK K-Clique?

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali sekali lagi mencatat sejarah apabila video muzik single Peluang Kedua mencapai tontonan 1 juta dalam tempoh sehari dimuat naik di saluran YouTube.

Ia sekali gus mengulangi rekod video muzik single hitnya, Pematah Hati.

Mengucapkan syukur, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 27, berkata, ia satu pencapaian yang bermakna dalam kerjaya seninya sebagai anak seni.

“Alhamdulillah, saya terharu kerana video muzik Peluang Kedua yang dimuat naik pada Selasa lalu mencapai 1 juta tontonan dalam tempoh singkat.

“Ia mengulangi kejayaan single Pematah Hati pada 2017. Mungkin ia perkara biasa bagi penyanyi lain, tetapi satu kejayaan besar buat saya,” kata pelakon Kebaya Kasut Kanvas itu.

Nabila berkata, awalnya tidak menyangka video muzik berkenaan akan pantas mencuri perhatian ramai.

“Sebenarnya, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana lirik video yang dimuat naik pada April lalu sudah pun mencecah 12 juta tontonan,” ujarnya.

Lagu ciptaan komposer dan penyanyi, Hael Husaini dan MFMF itu turut menampilkan penyanyi rap, MK K-Clique sebagai hero dan rakan duet untuk single terbaharu itu.

Nabila turut tidak menolak sam-butan hangat terhadap video muzik single berkenaan disebabkan MK yang menjadi kegilaan ramai wanita. – Agensi

Nabila Razali menampilkan penyanyi rap, MK K-Clique sebagai hero dan rakan duet untuk video muzik Peluang Kedua yang meraih tontonan 1 juta. – Agensi