Nad Zainal kongsi pengalaman jalani penggambaran masa PKPP

Sejak 10 Jun lalu pekerja industri kreatif kembali bekerja selepas kerajaan Malaysia membenarkan penggambaran filem, drama, iklan dan sebagainya beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

Berkongsi pengalaman kerja dalam normal baharu, pelakon Nad Zainal berkata dia berpuas hati apabila setiap kru memahami tanggungjawab masing-masing dalam menjaga keselamatan.

“Menjalani penggambaran mengikut SOP ni rasa lebih selamat. Setiap masa kami dibekalkan dengan pensanitasi tangan.

“Setiap kru dan barisan pelakon sedar akan tanggungjawab masing-masing, penggambaran pun jadi lebih efisien.

“Proses penggambaran pun tak jadi masalah walaupun kru tidak seramai dahulu,” katanya kepada mStar.

Nad Zainal berpuas hati apabila setiap kru memahami tanggungjawab masing-masing dalam menjaga keselamatan. – Agensi

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 30, turut berkongsi situasi lucu dihadapi kru produksi yang asyik mengadu kepanasan kerana memakai penutup hidung dan mulut setiap masa.

Pelakon Di Hujung Ranting ini berkata setiap kru dan barisan pelakon turut disediakan bekas makanan sendiri.

“Semua mengadu panas dan muka berwap sebab pakai penutup hidung dan mulut setiap masa.

“Tapi yang lucunya kami diberi bekas makanan setiap seorang. Dah macam mak bekalkan anak-anak makanan ke sekolah,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan kebenaran menjalani penggambaran yang bermula pada 10 Jun lalu. – Agensi