Nadal atasi The Joker

ROM, 20 Mei – Rafael Nadal mengalahkan musuh utamanya Novak Djokovic 6-0, 4-6, 6-1 untuk memenangi kejuaraan Terbuka Itali kali kesembilan dan rekod gelaran Masters ke-34 awal pagi tadi, menyebabkan lawannya melabel beliau sebagai ‘pilihan nombor satu Roland Garros’.

Pemain nombor satu dunia Djokovic, pemenang Terbuka Madrid minggu lalu, memperagakan permainan dipenuhi kesilapan antaranya dengan pemain ranking kedua Nadal, yang merangkul kejuaraan ke-81 kariernya.

“Akhirnya saya menang satu kejuaraan,” kata Nadal selepas meraih gelaran sulungnya tahun ini. “Saya gembira untuk mencapai tahap itu pada kejohanan terakhir sebelum acara Grand Slam.”

Djokovic mengalahkan Nadal pada final Terbuka Australia tahun ini bagi kemenangan Grand Slam ketiga berturut-turut selepas Wimbledon dan Terbuka AS.

Nadal mengatasi Djokovic di puncak senarai pemenang Masters selepas kedua-duanya terikat 33 sebelum aksi final ketika dia berusaha memburu kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-12 dalam seminggu lagi.

“Saya bangga mampu mengheret perlawanan ke set ketiga, memandangkan set pertama yang mana saya gagal melawan,” kata Djokovic.

Selepas tiga kekalahan separuh akhir di Monte Carlo, Barcelona dan Madrid, Nadal menemui prestasi terbaiknya menjelang Roland Garros.

“Nadal, pilihan nombor satu, tidak diragui lagi berbanding pemain lain,” ujar Djokovic mengenai ramalannya bagi Roland Garros. – AFP

Nadal (kanan) bergambar dengan trofi kejuaraan ATP Masters selepas menundukkan Djokovic (kiri) di Foro Italico, Rom kelmarin. – AFP