MADRID, 20 DIS – Rafael Nadal berkata hari ini dia diuji positif COVID-19 selepas pulang ke Sepanyol dari Abu Dhabi di mana dia mengambil bahagian dalam kejohanan minggu lalu.
“Saya sedang mengalami situasi tidak menyenangkan namun saya percaya saya akan bertambah baik. Kini saya menjalani kuarantin di rumah dan telah memberitahu orang yang telah menghubungi saya,” tulisnya di Twitter.
“Akibat situasi yang dialami, saya perlu bersikap fleksibel dengan jadual kalendar dan saya akan menganalisis pilihan bergantung pada perkembangan saya,” beritahu pemain berusia 35 tahun itu.
“Saya akan memberitahu awda sebarang keputusan mengenai kejohanan saya yang akan datang.”
Bekas pemain nombor satu dunia Sepanyol itu dijangka berlepas ke Melbourne pada akhir bulan ini untuk bersaing dalam acara ATP sebelum kejohanan Terbuka Australia.
Juara major 20 kali itu telah bergelut dengan kecederaan kaki sejak enam bulan lalu, justeru memaksanya terlepas acara Wimbledon dan Terbuka AS.
Nadal tewas kepada bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray dalam perlawanan pada Jumaat di Abu Dhabi, perlawanan pertamanya sejak Ogos. Dia seterusnya kalah kepada pemain separuh akhir Wimbledon, Denis Shapovalov dari Kanada pada Sabtu.
Meskipun tidak beraksi hampir separuh musim, dia mengakhiri 2021 di tangga ke-6 dunia selepas memenangi dua kejuaraan di Barcelona dan Rom dan berjaya memasuki separuh akhir di Terbuka Perancis dan suku akhir di Terbuka Australia. – AFP