Nadal, Djokovic perlu cekal berdepan ujian

MONTE CARLO, 14 April – Rafael Nadal dan Novak Djokovic bakal berdepan dengan ujian fizikal dan mental apabila musim gelanggang tanah liat di Eropah bakal bermula di Master Monte Carlo, esok.

Juara kejohanan sebanyak 11 kali, Nadal mengakui beliau masih berdepan dengan kecederaan lutut kirinya sebelum ini.

Djokovic pula mahu memulihkan imejnya selaku pemain nombor satu dunia selepas tewas pada suku akhir Indian Wells dan Master Miami bulan lalu.

Pemain Serbia itu yang juga Presiden Majlis Pemain turut berdepan dengan isu politik dalaman ATP dan mengakui ia sedikit sebanyak turut mengganggu tumpuannya. “Saya berdepan terlalu banyak perkara yang berlaku di luar gelanggang. Saya rasa ia memberi sedikit kesan kepada saya di gelanggang juga,” katanya selepas tersingkir di Terbuka Miami.

Djokovic yang berusia 31 tahun berhasrat untuk melengkapkan ‘Djoko Slam’ dengan memburu gelaran di Terbuka Perancis dalam tempoh dua bulan.

Beliau mengumpul trofi di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat sebelum menewaskan Nadal di Melbourne untuk gelaran ketujuh Terbuka Australia Januari lalu.

“Saya membesar di gelanggang tanah liat, jadi saya suka bermain di situ, meskipun saya mencatatkan lebih banyak kejayaan di gelanggang keras,” kata Djokovic. “Sudah tentu saya perlu bertarung dengan lebih baik.” Pemenang gelaran Grand Slam sebanyak 15 kali itu bagaimanapun mengakui dia tidak begitu cergas untuk bermain di gelanggang keras di Amerika Syarikat.

“Saya tak merasakan kesihatan saya dalam keadaan terbaik, begitu juga di Indian Wells dan Miami. Tetapi anda mempelajarinya dalam kehidupan.” – AFP