Nadal juarai Mubadala

ABU DHABI, 1 Jan – Rafael Nadal menamatkan badi kecederaan 2016 dengan bergaya apabila meraih gelaran Kejohanan Dunia Mubadala buat kali keempat, semalam.

Pemain berusia 30 tahun dari Sepanyol itu menewaskan pemain Belgium yang berada di ranking ke-11 dunia, David Goffin 6-4, 7-6 (7/5), tatkala pemain nombor satu dunia Andy Murray pula sekadar meraih tempat ketiga selepas menundukkan Milos Raonic dari Kanada 6-3, 7-6 (8/6), sebelum itu.

“Saya sangat gembira dapat kembali beraksi dalam kejohanan ini semula. Tiga hari yang sangat bagus buat saya. Pada tempoh itu dan dapat bermain pada tahap sebegini, saya harap ia akan kekal bersama saya untuk sepanjang musim,” kata Nadal.

Kempen 2016 Nadal dibelenggu dengan kecederaan di bahagian pergelangan tangan yang menyaksikan dirinya terkeluar di pusingan kedua Roland Garros selain terlepas aksi Wimbledon.

Namun dia dilihat berada pada tahap prestasi sebenar di sepanjang kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi dengan menewaskan pemain Republik Czech, Tomas Berdych di suku akhir dan Raonic (separuh akhir).

Rafael Nadal (kanan) bergambar bersama trofi kejuaraan bersama David Goffin (kiri) selepas perlawanan akhir Kejohanan Tenis Dunia Mubadala 2016 di Abu Dhabi, kelmarin. Nadal menang 6-4 dan 7-6. Rafael Nadal menamatkan badi kecederaan 2016 dengan bergaya apabila meraih gelaran Kejohanan Dunia Mubadala buat kali keempat. – AFP
Rafael Nadal (kanan) bergambar bersama trofi kejuaraan bersama David Goffin (kiri) selepas perlawanan akhir Kejohanan Tenis Dunia Mubadala 2016 di Abu Dhabi, kelmarin. Nadal menang 6-4 dan 7-6. Rafael Nadal menamatkan badi kecederaan 2016 dengan bergaya apabila meraih gelaran Kejohanan Dunia Mubadala buat kali keempat. – AFP

“Dia memberi sepenuh tekanan terhadap saya,” kata Goffin mengenai pertemuan pertamanya dengan pemain dari Sepanyol itu.

“Kamu boleh lihat sejauh mana kekuatannya apabila dia berada di hadapan kamu. Dia mempunyai mentaliti yang sangat mengagumkan dan dia tampak sangat kuat untuk memulakan musim baharu.”

Nadal kini dijadual berkunjung ke Australia untuk Kejohanan Antarabangsa Brisbane manakala Goffin berlepas ke Doha bagi mengharungi Terbuka Qatar.

Murray yang juga juara Wimbledon dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik pula merekodkan kekalahan pertama dalam enam pertemuan dengan Goffin di pentas separuh akhir, kelmarin.

“Adalah bagus dapat menamatkan tahun ini dengan satu kemenangan,” kata pemain Scotland berusia 29 tahun itu.

“Saya masih merasakan seperti Andy Murray – dan perasaan itu lebih normal – namun saya gembira dengan gelaran kesatria diberikan dan ia juga satu jalan yang baik untuk memulakan tahun baharu.”

Hentian Murray selepas ini ialah ke Qatar untuk minggu pembukaan musim ATP sebelum ke kejohanan Grand Slam pertama musim 2017 Terbuka Australia, dua minggu selepas itu. – AFP