Nadal mudah kalahkan Alcaraz

MADRID, 6 MEI – Rafael Nadal mula memburu kejuaraan keenam Terbuka Madrid kelmarin, selepas mudah menundukkan pemain remaja, Carlos Alcaraz 6-1, 6-2 untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

Nadal, kembali menduduki ranking kedua minggu lalu selepas mencatat kemenangan ke atas Stefanos Tsitsipas di Barcelona, menang ke atas lawan berusia 18 tahun di ibu kota Sepanyol.

Menduduki ranking ke-120 di dunia, Alcaraz menuju ke arah peminat yang menyanyikan lagu ‘Selamat hari jadi’ kepadanya – kemudian menerima kek hari jadi – ketika dia meraikan ulang tahun bermain menentang idolanya sewaktu membesar.

Alcaraz bermain bersungguh-sungguh, malahan mematahkan pukulan servis rakan senegaranya, Nadal, di set kedua tetapi seperti dijangkakan lawannya terlalu hebat buatnya.

“Kemenangan di Barcelona banyak membantu saya. Semua menjadi semakin baik sejak itu,” kata Nadal, sambil memuji lawannya.

Aksi Rafael Nadal ketika bertemu rakan senegara, Carlos Alcaraz di Terbuka Madrid, kelmarin.

“Dia sangat berbakat. Dia masih muda dan seorang lelaki yang baik. Tahapnya sudah berada di kedudukan hebat hari ini, tetapi saya sangat percaya dia akan menjadi seorang pemain hebat dalam masa terdekat.

“Saya doakan semoga dia berjaya,” tambah Nadal. “Sebagai pemain Sepanyol dan peminat tenis Sepanyol, saya percaya bahawa kami perlukan seseorang seperti dia dan sangat hebat untuk bermain menentangnya di sini.”

Nadal akan bertemu Alexei Popyrin dalam pusingan seterusnya selepas pemain Australia itu menyingkirkan pemain sedang meningkat naik, Jannik Sinner 7-6 (7/5), 6-2.

Tsitsipas, naib juara 2019, mengalahkan Benoit Paire 6-1, 6-2 dalam perlawanan berlangsung kurang daripada sejam, dengan pemain Perancis mengalami kecederaan abdomen.

Pemain pilihan keempat dari Greece meraih kemenangan ke-27 ATP musim ini dan akan bertemu pemain Norway, Casper Ruud di peringkat suku akhir. – AFP